KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyokong Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah dan membentuk kerajaan negeri.
Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick turut hadir di Istana Seri Kinabalu bagi menyaksikan Hajiji mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman awal subuh hari ini.
Menurutnya, kemenangan tiga calon UPKO dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17 (PRU17 Sabah) membawa sokongan kepada Hajiji sebagai Ketua Menteri.
"Saya dan wakil-wakil rakyat UPKO menyatakan kepada Datuk Seri Hajiji bahawa beliau boleh menubuhkan Kerajaan Negeri Sabah yang terdiri daripada parti-parti lokal sepenuhnya.
"Selebihnya dan sudah tentunya, Datuk Seri Hajiji lebih bijaksana dalam menentukan kabinet kerajaan Sabah.
"Yang penting pada Parti UPKO, hubungan kerajaan negeri-kerajaan Persekutuan haruslah berasaskan kepada semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, dalam mengurus kestabilan politik negara, kerajaan negeri yang dibentuk harus bertegas dengan hak-hak Sabah.
Sehubungan itu katanya, Parti UPKO akan mendukung kepimpinan Hajiji sebagai Ketua Menteri berdasarkan kepada pengukuhan nilai dan tadbir urus terpuji.
Dalam pada itu Ewon berkata, UPKO akan terus mendukung dan memperjuangkan agenda serta wawasan 'Sabah First'.
Menurutnya, kemenangan tiga calon UPKO dalam PRU17 Sabah adalah atas sokongan dan mandat rakyat.
Justeru, pihaknya akan terus memberikan kepimpinan dan khidmat terbaik di kawasan yang diwakili masing-masing.
"Atas sokongan rakyat, UPKO beroleh mandat di Kadamaian, Tamparuli dan Moyog.
"Wakil-wakil rakyat UPKO ini tidak hanya menjadi wakil rakyat di kawasan masing-masing, tetapi harus menjadi wakil rakyat Sabah untuk mempertahankan maruah rakyat.
"UPKO akan berjuang mendapatkan semula hak-hak Sabah terutama pembayaran semula 40 peratus hasil Sabah yang diperlukan untuk pembangunan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat Sabah," jelasnya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Sabah yang menunaikan tanggungjawab demokrasi dalam PRU17 Sabah.
Ewon turut menyampaikan ucapan penghargaan istimewa kepada 64,471 orang yang memberikan sokongan dan mengundi calon-calon UPKO.
Pihaknya menggesa agar seluruh rakyat Sabah kembali bersatu bagi membangun dan memajukan rakyat Sabah serta mendapatkan kembali hak-haknya.
"Keputusan pilihan raya ini juga harus menjadi iktibar dan harus menjadi persiapan kepada PRU yang seterusnya, supaya agenda bersama 'Sabah First' dapat dijayakan.
"Terima kasih buat petugas-petugas Parti UPKO dan para penyokong. Terima kasih kepada semua urusetia dan petugas pilihan raya yang memastikan kelancaran proses demokrasi Sabah ini," katanya.

