KOTA KINABALU: Barisan Kabinet Sabah yang baharu dibentuk hari ini selepas kesemua Timbalan Ketua Menteri dan Menteri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, dalam istiadat Angkat Sumpah di Istana Seri Kinabalu, petang tadi.
Majlis angkat sumpah disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang sekali lagi mengetuai pentadbiran negeri dengan dibantu tiga Timbalan Ketua Menteri.
Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi menyaksikan kesemua Timbalan Ketua Menteri dan Menteri dilantik menyertai jemaah menteri kabinet menandatangani dokumen berkaitan.
Berikut senarai Timbalan Ketuai Menteri:
- Timbalan Ketua Menteri I:
Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam (GRS) – ADUN Kundasang - Timbalan Ketua Menteri II:
Datuk Seri Masidi Manjun (GRS) – ADUN Karanaan - Timbalan Ketua Menteri III:
Datuk Ewon Benedick (UPKO) – ADUN Kadamaian
Barisan Kabinet baharu itu merangkumi portfolio strategik yang melibatkan kerjasama pelbagai parti dalam kerajaan pasca-PRN17. Berikut senarai menteri yang mengangkat sumpah hari ini:
- Menteri Kerja Raya dan Utiliti:
Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam (GRS) – ADUN Kundasang - Menteri Kewangan:
Datuk Seri Masidi Manjun (GRS) – ADUN Karanaan - Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan:
Datuk Ewon Benedick (UPKO) – ADUN Kadamaian - Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan:
Datuk Arifin Arif (GRS) – ADUN Membakut - Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan:
Datuk Jamawi Jaafar (PH) – ADUN Melalap - Menteri Pembangunan Luar Bandar:
Datuk Rubin Balang (GRS) – ADUN Kemabong - Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi:
Datuk James Ratib (GRS) – ADUN Sugut - Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar:
Datuk Jafry Ariffin (BN) – ADUN Sukau - Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat:
Datuk Julita Mojungki (GRS) – ADUN Matunggong - Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif:
Datuk Nizam Titingan (GRS) – ADUN Apas
Daripada keseluruhan barisan Kabinet baharu itu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mendominasi dengan tujuh portfolio menteri, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) pula memegang satu portfolio menerusi Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan.
Manakala Pakatan Harapan (PH) turut diberikan satu kementerian iaitu Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan. Barisan Nasional (BN) menerima satu portfolio melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, sekaligus mencerminkan pembahagian kerjasama pelbagai parti dalam kerajaan pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Pembentukan Kabinet dijangka memperkukuh kesinambungan dasar kerajaan negeri, selain memberi tumpuan kepada agenda pembangunan infrastruktur, pengukuhan ekonomi, kebajikan rakyat serta reformasi penyampaian perkhidmatan awam.
Sementara itu, barisan Pembantu Menteri bagi setiap kementerian dijangka diumumkan esok diikuti ADUN dilantik selepas proses penyelarasan portfolio dimuktamadkan oleh Pejabat Ketua Menteri.
Awal pagi Ahad lalu, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri untuk penggal kedua di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman.
Pada PRN Sabah ke-17, GRS memperoleh 29 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan, Parti Warisan (25), Barisan Nasional (enam), BEBAS (lima), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) (tiga), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) (dua), manakala Perikatan Nasional (PN), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing menang satu kerusi.

