KOTA KINABALU: Pelantikan ahli jemaah menteri bagi kabinet baharu Kerajaan Negeri Sabah berdasarkan pengalaman dan kemampuan untuk memimpin kementerian ke arah kemajuan negeri Sabah yang lebih cemerlang.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yakin, setiap ahli jemaah menteri yang dilantik mampu menjalankan tanggungjawab yang cemerlang dalam kementerian masing-masing.
Katanya, kabinet baharu itu perlu memastikan kesinambungan pelaksanaan program pembangunan seperti yang dirancang di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua menteri yang baharu dilantik dan mengingatkan tanggungjawab yang dipikul amat besar dan perlu dilaksanakan dengan penuh dedikasi serta integriti.
Menurutnya, para menteri harus berkhidmat kepada seluruh rakyat Sabah tanpa mengira latar belakang, selain memastikan amanah yang diberikan ditunaikan sepenuhnya.
Hajiji diwakili oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata demikian pada sidang media di Kediaman Rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya hari ini selepas Upacara Angkat Sumpah Jemaah Menteri Baharu di Istana Seri Kinabalu.
Dalam pada itu katanya, upacara angkat sumpah itu turut membawa makna besar kerana ia memperkukuh iltizam kerajaan negeri untuk terus berkhidmat demi kepentingan rakyat dan masa depan Sabah.
Sementara itu, Joachim mengesahkan kerajaan negeri ini sama seperti kerajaan perpaduan yang melibatkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH), Pertubuhan Kinabalu Bersatu Progresif (UPKO), dan Barisan Nasional (BN).
Ditanya mengenai penyertaan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), beliau memaklumkan parti itu belum rasmi menyertai kerajaan perpaduan yang baharu dibentuk.
Dalam sidang media sama, beliau turut mengumumkan senarai penuh jemaah menteri yang dilantik dalam kabinet baharu termasuk jawatannya sebagai Menteri Kerja Raya dan Utiliti; Timbalan Ketua Menteri 2 merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun; dan Timbalan Ketua Menteri 3 merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Datuk Ewon Benedick.
Turut menerima pelantikan dalam kabinet baharu kerajaan negeri adalah wakil GRS iaitu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Rubin Balang; Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk James Ratib; Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Julita Mojungki; dan Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Wakil tunggal PH, Datuk Jamawi Jaafar dilantik sebagai Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan manakala wakil tunggal BN Datuk Jafry Arifin dilantik sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.
Terdahulu, kabinet baharu Sabah mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu di sini pada jam 3.36 petang tadi.

