Wanita Gagasan Rakyat beri sokongan penuh kepada Hajiji
00:12 Dec 03, 2025  |  By SabahKini2
Wanita Gagasan Rakyat beri sokongan penuh kepada Hajiji

Menurut kenyataan Wanita Gagasan Rakyat hari ini, kemenangan GRS dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17 (PRU17 Sabah) memperlihatkan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Pengerusi GRS itu.

KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) sebulat suara menyokong padu kepimpinan Ketua Menteri yang juga Presiden Gagasan Rakyat Datuk Seri Hajiji Noor tanpa berbelah bahagi.

Menurut kenyataan Wanita Gagasan Rakyat hari ini, kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17 (PRU17 Sabah) memperlihatkan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Pengerusi GRS itu.

Hajiji terbukti mampu membawa kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kelangsungan pembangunan negeri Sabah.

Sehubungan itu, seluruh jentera dan kepimpinan Wanita Gagasan Rakyat di semua peringkat digesa untuk memperteguh kesatuan barisan perjuangan.

Wanita Gagasan memberi sokongan padu kepada kepimpinan Hajiji dalam mengemudi pentadbiran negeri bagi tempoh lima tahun akan datang. 

"Sokongan ini amat penting bagi memastikan segala agenda pembangunan rakyat, kesejahteraan sosial serta kemajuan Sabah dapat dilaksanakan secara konsisten, tersusun dan berkesan.

"Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat juga merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh barisan jemaah menteri yang mengangkat sumpah Isnin lepas.

"Kami menaruh penuh keyakinan agar barisan Kabinet Negeri yang dilantik ini dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada penyelesaian isu-isu legasi rakyat secara menyeluruh dan tuntas," kata kenyataan itu.

Selain itu, Wanita Gagasan Rakyat juga mahu penambahbaikan serta peluasan inisiatif kebajikan dan kesejahteraan rakyat, pemerkasaan agenda wanita dan pembangunan anak muda, peningkatan kecekapan tadbir urus dan penggunaan sumber negeri secara berhemah.

Kerajaan perlu terus konsisten mempertahankan dan memperjuangkan hak-hak Sabah selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Kami yakin dan percaya tempoh lima tahun pentadbiran akan datang bakal menjadi saksi kepada keupayaan Kerajaan GRS Plus untuk membawa Sabah ke arah sebuah negeri yang lebih maju, stabil, makmur dan berdaya saing, demi kepentingan rakyat dan masa depan generasi akan datang," jelas kenyataan itu.

Comment