Hajiji umum portfolio 17 pembantu menteri kabinet baharu Sabah
22:12 Dec 03, 2025  |  By SabahKini2
Hajiji umum portfolio 17 pembantu menteri kabinet baharu Sabah

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, menyatakan keyakinannya terhadap keupayaan anggota Kabinet Perpaduan yang merangkumi pelbagai parti itu untuk bekerjasama bagi mencapai sasaran yang ditetapkan.

KOTA KINABALU: Kabinet baharu Sabah yang dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) komited memacu kemakmuran dan kemajuan Sabah bagi tempoh lima tahun akan datang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, menyatakan keyakinannya terhadap keupayaan anggota Kabinet Perpaduan yang merangkumi pelbagai parti itu untuk bekerjasama bagi mencapai sasaran yang ditetapkan.

"Kita mempunyai keupayaan yang kukuh untuk melaksanakan perkara ini berdasarkan pencapaian pembangunan dan kemajuan yang telah dilaksanakan dalam tempoh lima tahun lalu.

"Kita bersedia melancarkan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang holistik, inklusif dan komprehensif pada 2026," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Kabinet Negeri di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Beliau menegaskan keperluan untuk memperkukuh Kerajaan Negeri bagi memastikan kestabilan politik yang berterusan dan kesinambungan kemajuan.

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu juga menekankan kejayaan lima tahun lalu adalah hasil usaha dedikasi untuk mewujudkan kestabilan dan memupuk persekitaran kondusif untuk pembangunan.

"Dengan pentadbiran baharu ini, saya dan anggota Kabinet akan memperteguh komitmen untuk mengekalkan kestabilan dan mendokong agenda politik berteraskan perpaduan serta pembangunan.

"Saya adalah Ketua Menteri untuk semua, berkhidmat kepada seluruh rakyat Sabah secara adil tanpa prejudis terhadap latar belakang kaum atau agama mereka," katanya.

Pada mesyuarat itu, Hajiji turut mengumumkan portfolio bagi 17 pembantu menteri yang mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, semalam.

Daripada jumlah itu, seramai tiga pembantu menteri diletakkan di bawah Jabatan Ketua Menteri iaitu Datuk Joniston Bangkuai (GRS), Datuk Isnin Aliasnih (GRS) dan Datuk Mandela Malakun (GRS).

Selebihnya, dua pembantu menteri di bawah Kementerian Kerja Raya dan Utiliti iaitu Datuk Limus Jury (GRS) dan Datuk Seri Dr Ruddy Awah (GRS), selain dua pembantu menteri juga di bawah Kementerian Kewangan iaitu Datuk Ben Chong (GRS) dan Datuk Ishak Ayub (STAR).

Di bawah Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan pula, Datuk Jonnybone Kurum (GRS) satu-satunya pembantu menteri yang dilantik, manakala dua pembantu menteri di Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan iaitu Datuk Fairuz Renddan (Bebas) dan Datuk Maijol Mahap (Bebas)

Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan turut menerima dua pembantu menteri iaitu Datuk Ruslan Muharam (GRS) dan Datuk Hendrus Anding (GRS), diikuti dua juga pembantu menteri di Kementerian Pembangunan Luar Bandar iaitu Datuk Samad Jambri (GRS) dan Datuk Juil Nuatim (GRS).

Selain itu, Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi menyaksikan seorang pembantu menteri, iaitu Jordan Jude Ellron (Bebas), manakala Dr Andi Rizal (GRS) juga satu-satunya pembantu menteri di Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.

Seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas, Datuk Rina Jainal dilantil sebagai Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat.

Comment