KOTA KINABALU: Kabinet Negeri perpaduan yang baharu dibentuk menyatakan komitmen penuh untuk bekerjasama rapat bagi memacu kemakmuran dan kemajuan Sabah bagi tempoh lima tahun akan datang.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan memiliki keupayaan yang kukuh untuk merealisasikan visi berkenaan berdasarkan pencapaian pembangunan serta kemajuan yang dicatat sepanjang lima tahun lalu.
Menurutnya, kerajaan bersiap sedia melancarkan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang bersifat holistik, inklusif dan komprehensif pada tahun 2026.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Kabinet Negeri di Menara Kinabalu, di sini.
Hajiji turut menegaskan keperluan memperkukuh Kerajaan Negeri bagi memastikan kestabilan politik berterusan serta kesinambungan kemajuan pembangunan di Sabah.
“Kejayaan yang dicapai sepanjang lima tahun lalu berpaksikan usaha dedikasi untuk mewujudkan kestabilan serta memupuk persekitaran kondusif kepada pembangunan.
“Dengan pentadbiran baharu ini, saya bersama anggota Kabinet akan terus memperteguh komitmen untuk mengekalkan kestabilan dan mendokong agenda politik berteraskan perpaduan serta pembangunan,” katanya.
Beliau turut mengulangi iltizam untuk berkhidmat kepada seluruh rakyat Sabah secara adil tanpa mengira latar belakang, kaum dan agama.
“Saya ialah Ketua Menteri untuk semua,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Hajiji mengumumkan portfolio bagi 17 pembantu menteri yang mengangkat sumpah pada Selasa.
Bagi Jabatan Ketua Menteri, pelantikan melibatkan Datuk Joniston Bangkuai, Datuk Isnin Aliasnih dan Datuk Mandela Malakun, masing-masing daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Portfolio Kerja Raya dan Utiliti disandang Datuk Limus Jury dan Datuk Sri Dr. Ruddy Awah, kedua-duanya daripada GRS.
Bagi Kementerian Kewangan, Datuk Ben Chong mewakili GRS manakala Datuk Ishak Ayub daripada STAR.
Portfolio Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan disandang Datuk Jonnybone Kurum daripada GRS.
Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan pula dibarisi Datuk Fairuz Renddan dan Datuk Maijol Mahap, kedua-duanya wakil Bebas.
Bagi Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, pelantikan melibatkan Datuk Haji Ruslan Muharam dan Datuk Hendrus Anding dari GRS.
Kementerian Pembangunan Luar Bandar dianggotai Datuk Samad Jambri dan Datuk Juil Nuatim, juga daripada GRS.
Portfolio Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi disandang Jordan Jude Ellron daripada Bebas, manakala Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar diterajui Dr. Andi Rizal dari GRS.
Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat pula diserahkan kepada Datuk Rina Jainal daripada Bebas.
Pelantikan barisan timbalan menteri ini disifatkan sebagai langkah penting memperkukuh jentera pentadbiran kerajaan negeri dalam menjayakan agenda pembangunan Sabah secara menyeluruh bagi tempoh lima tahun akan datang.

