Insiden bot terbakar di Labuan, dua kanak-kanak melecur
00:12 Dec 05, 2025  |  By SabahKini2
Insiden bot terbakar di Labuan, dua kanak-kanak melecur

Kejadian kira-kira jam 3 petang mencetuskan suasana panik apabila api dipercayai bermula dari bahagian enjin sebelum merebak pantas ke seluruh bot.

LABUAN: Tiga individu termasuk dua kanak-kanak melecur selepas sebuah bot penambang yang membawa 36 penumpang dari Menumbok ke Labuan terbakar ketika berada di perairan Tanjung Batu, petang tadi.

Kejadian kira-kira jam 3 petang mencetuskan suasana panik apabila api dipercayai bermula dari bahagian enjin sebelum merebak pantas ke seluruh bot.

Tekong bertindak menghala bot ke pesisir pantai bagi membolehkan semua penumpang dan kru menyelamatkan diri.

Ketua Polis Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, siasatan awal mendapati bot penambang itu berlepas dari Terminal Menumbok pada jam 2.45 petang dengan membawa 36 penumpang termasuk dua kanak-kanak serta tiga kru menuju ke Labuan.

“Kebakaran dipercayai berpunca dari bahagian enjin sebelum merebak ke bahagian lain bot. Semua penumpang dan kru berjaya menyelamatkan diri selepas bot menghampiri kawasan persisiran pantai.

“Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan berjaya memadamkan kebakaran sepenuhnya pada jam 4.15 petang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, tiga mangsa yang cedera melecur terdiri daripada seorang kru lelaki berusia 29 tahun serta dua kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia sekitar satu dan dua tahun.

“Ketiga-tiga mangsa menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Labuan.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya.

Comment