Laporan siasatan dalaman kes Zara Qairina tidak diserahkan kepada pengetua – Saksi
00:12 Dec 05, 2025  |  By SabahKini2
Laporan siasatan dalaman kes Zara Qairina tidak diserahkan kepada pengetua – Saksi

Guru disiplin di sekolah itu yang juga saksi ke-53 inkues kes kematian Zara Qairina, Nur Shukriah Mohd Fauzi, 37, berkata beliau percaya dalam perkara berkenaan, pemberian taklimat secara lisan sudah memadai.

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner di sini, hari ini, diberitahu bahawa Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha tidak pernah diberikan laporan penuh mengenai hasil siasatan dalaman dijalankan pihak sekolah itu berhubung insiden menimpa arwah Zara Qairina Mahathir.

Guru disiplin di sekolah itu yang juga saksi ke-53 inkues kes kematian Zara Qairina, Nur Shukriah Mohd Fauzi, 37, berkata beliau percaya dalam perkara berkenaan, pemberian taklimat secara lisan sudah memadai.

Katanya, tiada salinan fizikal mahupun digital laporan siasatan itu diserahkan kepada Pengetua kerana beliau sibuk dengan pelbagai urusan susulan kejadian pada 16 Julai lalu.

"Selepas 17 Julai lalu, Pengetua sentiasa sibuk. Beliau perlu menghadiri mesyuarat di Jabatan Pendidikan Sabah serta kursus di IAB (Institut Aminuddin Baki).

"Pada pendapat saya, pemakluman secara lisan kepada beliau sudah memadai memandangkan kes itu sudah diambil alih sepenuhnya oleh polis," katanya.

Beliau sekali gus memaklumkan bahawa pihak polis mula terbabit selepas warden sekolah itu membuat laporan pada 16 Julai lalu.

Saksi itu berkata demikian ketika menjawab soalan peguam, Clarice Vyonne Conrad yang mewakili keluarga Zara Qairina.

Peguam itu mencadangkan bahawa laporan siasatan dalaman itu - yang dijalankan pada pagi 17 Julai lalu - sepatutnya diserahkan kepada Pengetua sebagai ketua pentadbir sekolah berkenaan.

Nur Shukriah berkata, siasatan dalaman itu memfokus sepenuhnya kepada usaha mengenal pasti apa berlaku terhadap Zara Qairina dari 16 Julai lalu hinggalah arwah ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di tingkat bawah bangunan asrama sekolah berkenaan.

Beliau turut memberitahu Koroner Amir Shah Amir Hassan bahawa satu mesyuarat telah diadakan pada 17 Julai lalu untuk menggariskan kronologi insiden terbabit.

Berikut adalah soal jawab ketika pemeriksaan balas:

Clarice: Pada mesyuarat itu, adakah terdapat sebarang perbincangan mengenai keperluan untuk memaklumkan ibu Zara mengenai kejadian pada 16 Julai 2025, memandangkan siasatan dalaman telah dijalankan pada hari berkenaan?

Nur Shukriah: Perkara itu tidak dibincangkan.

Clarice: Mengapa tidak? Ibu Zara berhak untuk tahu.

Nur Shukriah: Pada pandangan saya, siasatan hari itu sekadar untuk merekodkan kenyataan awal dan tiada keputusan dibuat... justeru, saya merasakan ia tidak perlu.

Clarice: Walaupun jika ia hanya gambaran awal, tidakkah ia patut dimaklumkan kepada ibunya?

Nur Shukriah: Soalan itu boleh ditujukan kepada pihak pentadbiran. Berdasarkan hierarki, pihak di atas kami ialah Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) dan merekalah yang mempunyai kuasa untuk membuat keputusan akhir.

Prosiding inkues bersambung.

Comment