KENINGAU: Seorang pelajar lelaki tingkatan dua maut selepas terkena tembakan senapang buatan sendiri atau bakakuk ketika bermain sembunyi-sembunyi bersama rakan di halaman sebuah rumah di Jalan Kem PPH, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa berusia 14 tahun dikatakan bermain bersama seorang rakan sebaya sebelum tembakan dilepaskan secara tidak sengaja dari jarak kira-kira tiga meter.
Mangsa yang rebah dengan 14 kesan tembakan pada badan dihantar penduduk kampung ke Hospital Keningau namun disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Unit Kecemasan.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai, berkata siasatan awal mendapati rakan mangsa yang juga berusia 14 tahun ternampak mangsa memegang bakakuk di hadapan rumah sebelum meminta senjata berkenaan untuk bergurau.
“Ketika bermain sembunyi-sembunyi, mangsa bersembunyi di bawah kolong rumah sebelum suspek dipercayai tidak sengaja menarik picu senjata lalu melepaskan tembakan ke arah mangsa.
“Suspek yang panik kemudian meminta bantuan seorang penduduk kampung yang kebetulan melintas sebelum mangsa dibawa ke hospital,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan doktor mendapati terdapat 14 kesan tembakan pada beberapa bahagian tubuh termasuk dada kanan, lengan kanan, lutut dan sisi kiri badan mangsa.
Menurutnya, siasatan mendapati senjata itu disorokkan seorang lagi remaja lelaki berusia 13 tahun, iaitu adik kepada suspek, manakala pemilik bakakuk berkenaan adalah bapa mereka, seorang warga emas berusia 70 tahun.
“Ketiga-tiga beranak itu ditahan untuk siasatan lanjut. Siasatan turut mendapati mangsa merupakan rakan rapat suspek dan sering bermalam di rumah keluarga berkenaan. Bedah siasat dijalankan hari ini di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu,” katanya.
Beliau berkata, polis turut merampas bakakuk, peluru hidup, kelongsong peluru, pakaian suspek serta dua telefon bimbit bagi membantu siasatan.
“Siasatan diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

