Adun Karambunai: Muhyiddin kata kekal pembangkang, namun Ali Akbar dakwa sokong Hajiji dan Kerajaan GRS Plus
15:12 Dec 11, 2025  |  By SabahKini2
Adun Karambunai: Muhyiddin kata kekal pembangkang, namun Ali Akbar dakwa sokong Hajiji dan Kerajaan GRS Plus

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata PAS memaklumkan kepadanya bahawa Adun PN (PAS) di Sepanggar tidak menyertai kerajaan dan kekal pembangkang sekalipun Dr Ali Akbar menghubungi Ketua Menteri sokong kerajaan GRS

KOTA KINABALU: Kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karambunai, Datuk Dr Ali Akbar Gulasan, terus mencetuskan persoalan selepas wujud dakwaan bahawa beliau telah menghubungi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, bagi menyatakan sokongan kepada Kerajaan GRS Plus — meskipun pendirian rasmi Perikatan Nasional (PN) menegaskan beliau kekal sebagai pembangkang.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika ditemui media di Putrajaya hari ini, berkata PAS sudah memaklumkan kepadanya bahawa wakil tunggal gabungan itu di Sabah berkenaan tidak menyertai kerajaan dan akan berfungsi sebagai Adun pembangkang sepenuhnya.

“(Soal) dia menyertai kerajaan tidak berbangkit. Semalam pun ada mesyuarat tanya pendirian sebab kita nak dapat pandangan daripada pemimpin PAS. Jadi dia akan kekal sebagai pembangkang,” katanya.

Ali Akbar mencipta sejarah apabila menjadi Adun PAS pertama memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada PRN baharu-baharu ini, menewaskan 10 calon lain termasuk penyandang BN, Yakub Khan, dengan majoriti kurang daripada 400 undi. Walaupun ini kemenangan sulungnya melalui pilihan raya, beliau bukan wajah asing di DUN Sabah kerana pernah dilantik sebagai Adun dilantik ketika PAS berada dalam kerajaan GRS semasa era PN.

Spekulasi mengenai kedudukannya tercetus selepas sumber politik mendakwa Ali Akbar secara peribadi telah menghubungi Hajiji untuk menyatakan sokongan kepada pentadbiran GRS Plus, sekali gus membuka ruang tafsiran bahawa PAS mungkin mempertimbangkan hubungan yang lebih pragmatik dengan kerajaan negeri. Namun dakwaan itu tidak disahkan oleh pejabat Ketua Menteri mahupun oleh Ali Akbar sendiri.

Sumber-sumber yang rapat dengan PAS Sabah pula mendakwa hubungan tersebut lebih bersifat komunikasi biasa antara seorang wakil rakyat dan ketua kerajaan negeri bagi memastikan kelancaran urusan pembangunan kawasan, bukan tanda beliau akan melompat atau menyertai kerajaan.

Setakat ini, pendirian rasmi PN kekal jelas — Ali Akbar adalah sebahagian daripada blok pembangkang di Sabah. Namun seperti lazimnya dalam politik negeri itu, ruang antara sokongan peribadi, hubungan kerja, dan pendirian rasmi parti sering kali bertindih, menjadikan pergerakan politik Adun Karambunai itu terus menjadi perhatian.

Dengan hanya satu kerusi di Sabah, langkah Ali Akbar — sama ada dalam bentuk kenyataan terbuka atau pergerakan senyap hanya kekal sat-satunya kerusi PN di Sabah.

 

Comment