KOTA KINABALU: Polis menahan pasangan suami isteri selepas disyaki terbabit dalam pengedaran dadah hasil serbuan sebuah kenderaan di kawasan parkir awam Likas Plaza, malam Khamis.
Hasil serbuan menemukan enam paket plastik lutsinar berisi syabu seberat 302.08 gram dianggarkan bernilai RM21,000 yang disimpan dalam sebuah bungkusan biru di bahagian kaki penumpang belakang kenderaan berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, serbuan kira-kira jam 9.40 malam dilakukan JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.
“Bertindak dengan maklumat pengedaran dadah, polis cuba menghentikan kereta kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna putih itu namun pemandunya bertindak agresif dengan mengundurkan kenderaan cuba meloloskan diri.
“Tindakan itu memaksa anggota serbuan memecahkan cermin pintu pemandu sebelum suspek berjaya ditahan,” katanya.
Alhusin berkata, suspek mengaku menyimpan dadah dan menyerahkan bungkusan biru yang disimpan di bahagian kaki penumpang belakang.
“Dengan disaksikan suspek, pasukan serbuan memeriksa bungkusan itu dan menemui enam paket plastik berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu seberat 302.08 gram,” katanya.
Katanya, pemeriksaan lanjut dalam kenderaan tidak menemukan barang salah lain, namun polis turut merampas dua telefon bimbit bagi membantu siasatan.
“Suspek lelaki berusia 31 tahun bekerja sebagai pemandu e-hailing dan mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah, manakala isterinya berusia 27 tahun tidak mempunyai rekod jenayah.
“Kedua-dua suspek negatif hasil saringan awal air kencing dan kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Alhusin berkata, operasi memerangi pengedaran dadah akan diteruskan secara berterusan dan menggesa orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu polis membanteras kegiatan narkotik di Sabah.

