Belanjawan Sabah 2026 RM6.4 bilion, lebihan RM28 juta
09:12 Dec 12, 2025  |  By SabahKini2
Belanjawan Sabah 2026 RM6.4 bilion, lebihan RM28 juta

Belanjawan itu dibentangkan oleh Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Jumaat, menandakan langkah awal kerajaan negeri pasca Pilihan Raya Negeri untuk mengemudi pentadbiran lima tahun akan da

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah membentangkan Belanjawan Negeri 2026 berjumlah RM6.402 bilion, dengan anggaran hasil mencecah RM6.430 bilion, sekali gus mencatat lebihan kewangan sebanyak RM28 juta.

Belanjawan itu dibentangkan oleh Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Jumaat, menandakan langkah awal kerajaan negeri pasca Pilihan Raya Negeri untuk mengemudi pentadbiran lima tahun akan datang.

Masidi berkata, belanjawan bertemakan “Memacu Pembangunan, Kesejahteraan Rakyat Diutamakan” itu dirangka sebagai asas kepada agenda pembangunan jangka panjang, dengan penekanan kepada pertumbuhan ekonomi, penciptaan peluang pekerjaan dan peningkatan kemudahan awam.

“Pilihan Raya Negeri baru sahaja selesai dan kerajaan baharu telah menerima mandat rakyat. Belanjawan Sabah 2026 menjadi tonggak utama untuk menterjemahkan amanah tersebut kepada pelaksanaan dasar yang memberi manfaat langsung kepada rakyat,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri memberi keutamaan kepada program dan aktiviti berorientasikan pembangunan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi mampan, di samping memperkukuh prasarana serta kemudahan fizikal di seluruh negeri.

Sejajar dengan pendekatan itu, Masidi menjelaskan bahawa penyusunan semula perbelanjaan negeri turut dilaksanakan bermula tahun hadapan, dengan penyelarasan antara Vot Perbelanjaan Perbekalan dan Vot Perbelanjaan Pembangunan mengikut keperluan sebenar.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa kerajaan negeri terus berusaha mengurangkan jurang antara perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan, sebagai langkah meningkatkan impak pembangunan secara lebih inklusif.

“Nisbah Perbelanjaan Perbekalan yang berada pada tahap 86 peratus pada 2024 telah menurun kepada 85 peratus pada tahun ini, dan dicadangkan untuk dikurangkan lagi kepada 78 peratus pada 2026,” katanya.

Langkah berkenaan, menurut Masidi yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memperkukuh perbelanjaan pembangunan demi memastikan pertumbuhan ekonomi Sabah lebih seimbang dan memberi pulangan langsung kepada kesejahteraan rakyat.

Comment