Rundingan pemberian khas Kerajaan Persekutuan-Sabah diteruskan 19 Disember ini
22:12 Dec 15, 2025  |  By SabahKini2
Rundingan pemberian khas Kerajaan Persekutuan-Sabah diteruskan 19 Disember ini

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata Kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan sudah menyatakan komitmen untuk melaksanakan perbincangan secara progresif.

KUALA LUMPUR: Sesi rundingan seterusnya antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sabah berhubung pemberian khas, dijadual berlangsung pada 19 Disember ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata Kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan sudah menyatakan komitmen untuk melaksanakan perbincangan secara progresif bagi memastikan proses rundingan berjalan dengan teratur.

"Kerajaan Persekutuan telah meneruskan rundingan bersama Kerajaan Sabah pada 17 November 2025, dan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Rundingan Pemberian Khas Peringkat Pegawai antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sabah.

"Selain itu, turut dibincangkan ialah terma rujukan yang digunakan sebagai panduan ketika rundingan dilaksanakan kelak," katanya ketika menggulung sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di Dewan Negara, hari ini.

Amir Hamzah berkata, Kerajaan Persekutuan melalui platform Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), komited merundingkan kadar pemberian khas yang lebih baik termasuk meningkatkan amaunnya, kepada Sabah.

"Pada 2023, Kerajaan Persekutuan telah menaikkan amaun pemberian khas Sabah kepada RM300 juta.

"Mulai 2025, kerajaan bersetuju untuk menaikkan amaun pemberian khas hampir sekali ganda lagi kepada RM600 juta.

"Pembayaran ini adalah secara interim, sementara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah sedang merumuskan kaedah baharu yang menentukan pemberian khas pada masa depan," katanya.

Amir Hamzah berkata, Kerajaan Persekutuan sentiasa prihatin dengan keperluan peruntukan di Sabah.

Beliau berkata, peruntukan mengurus dan pembangunan Sabah meningkat daripada RM14 bilion pada 2023 kepada RM17 bilion pada 2026.

Katanya, peruntukan itu disalur bagi melaksanakan pembangunan strategik seperti Lebuh Raya Pan Borneo Sabah, bekalan air luar bandar, bekalan elektrik luar bandar, jalan perhubungan desa, jalan luar bandar dan kemudahan ameniti sosial.

Comment