Sabah komited kukuhkan pendidikan digital, AI dan TVET – James Ratib
20:12 Dec 16, 2025  |  By SabahKini2
Sabah komited kukuhkan pendidikan digital, AI dan TVET – James Ratib

Menurutnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kini sedang merintis konsep AI-Powered Classroom di 11 sekolah seluruh negara, dengan SMK SANZAC dipilih sebagai sekolah perintis di Sabah sejak Julai 2025.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah komited memperkukuh sektor pendidikan, sains, teknologi dan inovasi (STI) secara bersepadu bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara, selaras dengan tema Bajet 2026 Memacu Pembangunan, Kesejahteraan Rakyat Diutamakan.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, pembentangan bajet oleh Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun membuktikan kesungguhan kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan berterusan dilaksanakan demi kepentingan rakyat.

“Kerajaan negeri melihat pendidikan sebagai teras utama pembangunan modal insan, khususnya dalam menghadapi cabaran era digital yang kian pesat,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 Sabah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kini sedang merintis konsep AI-Powered Classroom di 11 sekolah seluruh negara, dengan SMK SANZAC dipilih sebagai sekolah perintis di Sabah sejak Julai 2025.

“Program ini dilaksanakan dengan kerjasama strategik syarikat Apple dan Sasbadi. Kerajaan negeri akan mencadangkan peluasan konsep ini ke seluruh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Sabah tertakluk kepada kriteria seperti guru terlatih, peralatan mencukupi dan pengurusan yang kompeten,” katanya.

Dalam perkembangan lain, James memaklumkan kerajaan negeri telah bersetuju mengiktiraf sijil United Examination Certificate (UEC) sebagai kelayakan akademik rasmi kerajaan negeri.

Katanya, pemegang UEC akan mendapat manfaat termasuk pengiktirafan rasmi kerajaan negeri, kelayakan memohon biasiswa negeri, peluang melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan milik kerajaan negeri serta pertimbangan dalam pengambilan perkhidmatan awam negeri, tertakluk kepada kepujian Bahasa Malaysia.

Menyentuh isu capaian internet, beliau berkata kerajaan negeri melalui kementeriannya komited memperkukuh akses internet di kawasan luar bandar dan pedalaman, termasuk cadangan penambahan pemasangan perkhidmatan Starlink berdasarkan kriteria Coverage Operational Area (COPA).

“Keutamaan diberikan kepada kawasan yang mempunyai kemudahan asas seperti sekolah, klinik dan masjid. Selain itu, beberapa lokasi telah dinaik taraf daripada Starlink kepada gentian optik, dengan pemasangan PoP 300Mbps oleh YTL siap dilaksanakan pada 1 Disember lalu,” katanya.

Mengulas peruntukan pendidikan, James berkata KPM telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM6.01 bilion kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) bagi tahun 2025, dengan RM254.6 juta diperuntukkan untuk pembangunan, manakala selebihnya bagi pengurusan dan operasi.

“Bagi tahun 2026, Sabah dijangka menerima peruntukan sekitar RM6 bilion, selari dengan komitmen berterusan kerajaan Persekutuan terhadap sektor pendidikan negeri,” katanya.

Berhubung isu sekolah daif, beliau memaklumkan sebanyak 216 projek telah diluluskan melibatkan 368 sekolah dengan 1,779 blok bangunan, membabitkan peruntukan keseluruhan RM4.95 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 dan Ke-13.

“Daripada jumlah itu, 96 projek berada di peringkat prabina, 65 dalam pembinaan dan 55 projek telah siap sepenuhnya,” katanya.

Beliau turut menegaskan bekalan buku teks di semua PPD adalah mencukupi untuk pelajar warganegara, manakala pelajar bukan warganegara atau tanpa dokumen pengenalan diri tidak dibekalkan buku teks.

Dalam sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), James berkata kementerian merancang pembangunan kampus satelit atau Desa TVET berasaskan zon di seluruh Sabah, termasuk di Keningau, bagi memperluaskan akses latihan berasaskan keperluan industri dan potensi ekonomi setempat.

Beliau berkata, KPSTI akan terus komited memperkasa pendidikan, STI dan kesalinghubungan internet bagi menjadikan Sabah negeri unggul dalam bidang berkenaan menjelang 2026.

“Saya juga mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu dan Selamat Hari Natal kepada semua yang menyambutnya. Semoga Sabah terus makmur dan bersatu,” katanya.

Comment