KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menegaskan komitmen teguh untuk terus memelihara perpaduan rakyat serta mengekalkan kestabilan politik sebagai asas kepada kemajuan dan pembangunan Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor, berkata perpaduan yang kukuh dalam kalangan rakyat serta kestabilan politik adalah prasyarat penting bagi menjamin pertumbuhan ekonomi negeri dan peningkatan pelaburan.
“Perpaduan yang kukuh di kalangan rakyat dan kestabilan politik menjadi asas kepada kemajuan ekonomi negeri serta pertumbuhan pelaburan,” katanya dalam perutusan Krismas 2025, hari ini.
Beliau turut menggesa semua pihak agar terus menyemarakkan semangat Krismas yang dicirikan oleh nilai kasih sayang dan kemurahan hati, di samping menegaskan kepentingan toleransi, saling menghormati serta perpaduan dalam masyarakat.
Menurutnya, Krismas sebagai perayaan penting bagi komuniti Kristian secara tradisinya menjadi platform yang menyatukan keluarga serta rakan-rakan, selain mengeratkan hubungan sesama insan.
Hajiji berkata, dalam kepelbagaian agama, etnik dan warisan budaya yang menjadi identiti Sabah, perayaan Krismas turut memberi peluang berharga kepada semua lapisan masyarakat untuk bersatu, memupuk keharmonian serta memperkukuh perpaduan antara etnik.
Dalam perutusannya itu, beliau menyampaikan ucapan selamat menyambut Krismas kepada semua penganut Kristian di negeri ini.
“Semoga perayaan ini memenuhi rumah anda dan komuniti kita dengan kegembiraan, kedamaian dan keharmonian,” katanya.

