Sabah komited tingkatkan keselamatan jalan raya demi rakyat
21:12 Dec 23, 2025  |  By SabahKini2
Sabah komited tingkatkan keselamatan jalan raya demi rakyat

Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, berkata keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama yang memerlukan kerjasama semua pihak, terutamanya pengguna jalan raya.

RANAU: Kerajaan Sabah melalui Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Sabah dan Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah (KKRUS) terus komited memperkukuh keselamatan jalan raya demi kesejahteraan rakyat.

Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, berkata keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama yang memerlukan kerjasama semua pihak, terutamanya pengguna jalan raya.

“Setiap individu memainkan peranan penting dalam memastikan perjalanan yang selamat, bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga untuk pengguna jalan raya yang lain,” katanya

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata demikian pada program Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Sempena Hari Natal 2025, di sini hari ini.

Menurutnya, kempen ini diharap dapat meningkatkan kesedaran, mengubah sikap pengguna jalan raya serta mengurangkan risiko kemalangan, kecederaan dan kehilangan nyawa.

Katanya, kempen itu turut menekankan langkah pencegahan praktikal melalui pengagihan barangan keselamatan jalan raya, termasuk segi tiga kecemasan dan kit pertolongan cemas sebagai persediaan awal jika berlaku kecederaan.

Joachim turut menasihatkan semua pengguna jalan raya agar memandu secara berhemah dan mematuhi had laju.

Beliau mengingatkan agar tidak memandu atau menunggang ketika letih atau mengantuk, mengelakkan penggunaan telefon bimbit semasa memandu dan memastikan kenderaan serta peralatan keselamatan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.

Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya ini adalah program tahunan di bawah MKJR Sabah, dengan KKRUS sebagai urus setia negeri yang menyelaras pelaksanaan program dan memperkenalkan inisiatif baharu untuk meningkatkan keselamatan jalan raya.

Program ini dilaksanakan setiap musim perayaan sejajar dengan peningkatan pergerakan trafik bagi memastikan pengguna jalan raya lebih bertanggungjawab, khususnya ketika pulang bercuti dan berkumpul bersama keluarga.

Daerah Ranau dipilih sebagai lokasi pelaksanaan kerana menjadi laluan utama yang menghubungkan Pantai Barat dan Pantai Timur Sabah, serta sering digunakan orang ramai untuk pulang ke kampung atau melancong.

Selain itu, kempen turut melibatkan penukaran helmet baharu kepada penunggang motosikal terpilih bagi menggalakkan penggunaan helmet yang lebih selamat, berkualiti dan menepati piawaian keselamatan semasa.

Sejurus selepas kempen, Joachim bersama rombongan turut mengadakan lawatan ke beberapa lokasi termasuk jalan-jalan sekitar SK Pekan Kundasang, Jalan Kampung Permai, Jalan Kauluan Pinonsuk dan Loji Rawatan Air Kundasang untuk meninjau keadaan semasa serta perkembangan infrastruktur di kawasan berkenaan.

Comment