KUALA LUMPUR: Seramai 251 mangsa banjir masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang, Sabah, Selangor dan Sarawak, setakat jam 5 petang ini.
Menurut portal Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), di Pahang, situasi banjir semakin pulih apabila hanya 95 mangsa daripada 32 keluarga ditempatkan di lima PPS berbanding 194 mangsa pagi tadi.
Infobencana JKM memaklumkan, 17 orang daripada lima keluarga ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Semangat, Kuantan manakala di Maran sebanyak 35 orang daripada enam keluarga berada di PPS Balai Raya Kampung Baru Pertanian.
Selain itu, 30 mangsa daripada 17 keluarga di Pekan berlindung di dua PPS iaitu Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah dan Sekolah Kebangsaan Pulau Manis.
Keadaan di Sabah, Selangor dan Sarawak juga bertambah baik apabila hanya satu PPS beroperasi di negeri berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, laman web infobanjir memaklumkan paras air Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan masih melepasi aras bahaya setakat jam 4 petang tadi.
Semua 251 mangsa banjir membabitkan 73 lelaki dan perempuan (88 orang), selain 83 kanak-kanak serta bayi (tujuh).
Hujan lebat berterusan yang melanda Pahang minggu lalu menyebabkan beberapa daerah dinaiki air sehingga memaksa lebih 13000 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

