KOTA KINABALU – Kenyataan sarjana bebas Sharifah Munirah Alatas bahawa penyertaan institusi pendidikan tinggi (IPT) Malaysia dalam sistem ranking universiti global dilakukan secara membuta tuli dan tunduk kepada logik ekonomi neoliberal, kini terbukti bukan retorik kosong — sebaliknya selari dengan realiti yang telah lama didedahkan.
Walaupun segelintir naib canselor tampil mempertahankan sistem ranking dengan alasan “ekosistem pendidikan tinggi global”, hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah ranking universiti hari ini telah berubah menjadi industri komersial yang mengaut keuntungan besar daripada universiti, khususnya di negara membangun seperti Malaysia.
Ranking Bukan Lagi Penilaian, Tetapi Perniagaan
Sharifah Munirah secara terbuka mengkritik penglibatan IPT dalam sistem seperti QS World University Rankings, Times Higher Education World University Rankings dan Academic Ranking of World Universities, yang menurutnya telah memaksakan satu sistem ekonomi neoliberal ke atas universiti.
Beliau menegaskan, organisasi ranking ini bukan badan bebas akademik, tetapi entiti perniagaan yang menjana keuntungan melalui yuran penyertaan, pembelian sistem penilaian, seminar berbayar, QS Star Ratings, serta pakej pemasaran yang mencecah jutaan ringgit.
Lebih membimbangkan, IPT dipaksa menyesuaikan pengajaran, penerbitan, pengambilan staf dan data institusi semata-mata untuk memuaskan formula ranking bukan demi kualiti ilmu atau kebebasan akademik.

Naib Canselor Pertahankan Sistem, Tetapi Elak Soal Wang
Naib Canselor Universiti Utara Malaysia, Ahmad Martadha Mohamed, menyifatkan kenyataan Sharifah Munirah sebagai “berlebihan” dan mempertahankan pendirian Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) bahawa ranking hanyalah sebahagian ekosistem pendidikan tinggi.
Namun persoalan pokok yang gagal dijawab ialah: berapa juta wang awam dibelanjakan untuk membeli ranking ini?
Dan siapa yang sebenarnya mendapat manfaat — pelajar, pensyarah, atau syarikat ranking antarabangsa?
Pendedahan Sabahkini2: Skandal Pembelian Ranking Sudah Lama Berlaku
Faktanya, Sabahkini2 telah mendedahkan sejak 2019 bahawa kejayaan universiti Malaysia dalam QS bukanlah hasil reformasi akademik tulen, tetapi hasil program pembelian ranking secara sistematik oleh kerajaan melalui KPT.
Program ini digerakkan sejak era Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara (PSPTN) dan menjadi semakin agresif pada zaman slogan Soaring Upwards (2015–2020), apabila semua universiti awam dipaksa menyertai QS World University Rankings dengan kos yang mencecah lebih RM2 juta bagi setiap universiti.
Mendaftar sahaja ke dalam sistem QS memerlukan bayaran melebihi RM1 juta — belum termasuk kos seminar, persidangan, booth, konsultasi data, QS Star Ratings dan pakej pemasaran lain.
[ARTIKE BERKAITAN- UM ke 70 dunia: Kejayaan skandal KPM bayar berjuta beli QS World University Rankings? ]
Naib Canselor universiti tiada pilihan dan dipaksa untuk masuk liga berebut takhta terbaik dunia dan berlumba-lumba untuk memuaskan hati dan nafsu sekumpulan individu yang menjadikan kayu ukur kejayaan pendidikan tinggi dari sudut nombor semata-mata. Jika tidak akur bermakna universiti tidak seiring dengan apa yang kementerian mahu. Ini belum masuk kepada isu pelantikan pensyarah luar ke dalam IPTA untuk kejar ranking.
Mengapa hanya QS World University Rankings?
Membeli QS World University Rankings mungkin lebih mudah berbanding membeli kedudukan dalam Times Higher Education (THE) yang mempunyai kriteria lebih ketat. Contohnya sejak 2019, universiti terkemuka Malaysia gagal menonjol dalam THE, namun kekal “cemerlang” dalam QS. Mengapa? Semuanya duit dan bayar!
Ranking 2025 dan 2026: Siapa Naik, Siapa Gugur Selepas Wang Habis?
Universiti Malaya (UM) menduduki tempat ke-60 di dunia tahun 2025 dan 2026 kedudukan 58, menjadikannya universiti Malaysia tertinggi dan satu-satunya Malaysia dalam Top 100 global yang meningkat setiap tahun. Dalam tempoh 6 tahun lalu UM dari 70 kepada ranking kini 58!
Menurut data tambahan yang tersedia, universiti-universiti Malaysia lain yang turut tercatat dalam QS World University Rankings 2025 dan 2026 seperti berikut;

QS World University Rankings - 2026

QS World University Rankings - 2024-2025

QS World University Rankings - 2020-2023

QS World University Rankings - 2019

QS World University Rankings - 2017-

QS World University Rankings - 2013- 2017
Banyak universiti lain tersingkir selepas tempoh 5 tahun, turun naik seperti Universiti Malaysia Pahang #600-1000 atau banyak yang kekal dalam posisi 1000 ke atas misalnya seperti Universiti Malaysia Sarawak #1001–1200, Universiti Malaysia Sabah #1001–1200 dan Universiti Malaysia Perlis: #1201–1400.
UniMAP dan beberapa Universiti misalnya terlibat berbelanja untuk membeli ranking ini sejak tahun 2016 dan pada tahun 2017 mereka menuai hasil apabila berada pada 451 dalam bidang kejuruteraan dan teknologi tahun 2017. Tahun 2019 dan 2020 Unimap terus kekal dalam senarai rangking 1000. Begitu juga bagaimana Universiti Malaysia Pahang (UMP); Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam kedudukan 1000 terbaik. Namun seperti di atas selepas kurang berbelanja ranking mereka kekal jatuh kecuali UMP.
Persoalannya jika ranking ini benar-benar objektif, mengapa kedudukan merosot sebaik sahaja perbelanjaan besar dihentikan?
Namun bagaimana dengan universiti lain yang tiada wang mampukah mereka melonjak?
Manipulasi Data: Pensyarah, Pelajar dan Angka Ajaib
Bukan itu sahaja selain membayar pendaftaran RM1 juta, bagi memenuhi kriteria QS, universiti didakwa memanipulasi data nisbah pelajar–pensyarah, termasuk angka pensyarah antarabangsa.
Jika benar, apa nasib pensyarah tempatan dan misi pendidikan nasional?
Demi QS World University Rankings Universiti akan manipulasi data terutama data pelajar dan pensyarah. Contohnya 6 pelajar 1 pensyarah. ( 6:1) atau setiap 3 pensyarah tempatan 1 pensyarah luar. Persoalannya adakah setiap 3 pensyarah tempatan ada 1 pensyarah luar negara? Universiti terpaksa menipu data untuk menyertai QS ranking ini.
Kesimpulan: Teguran Sharifah Munirah ada benarnya
Hakikatnya, ranking universiti hari ini bukan lagi alat menilai kecemerlangan ilmu, tetapi industri mengaut keuntungan yang menghisap dana awam, memesongkan keutamaan universiti dan merosakkan budaya akademik.
Maka, teguran Sharifah Munirah Alatas bahawa pembabitan IPT dalam sistem ranking global diterima secara membuta tuli dan berteraskan ekonomi neoliberal adalah benar, berasas dan disokong fakta.
Persoalan sebenar bukan sama ada ranking perlu atau tidak — tetapi siapa yang kita khidmati: ilmu, atau pasaran?

.jpg)