LABUAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Labuan menyita 55 kenderaan bernilai RM7.12 juta termasuk cukai, susulan beberapa siri operasi penguatkuasaan yang dijalankan di Sabah dan Sarawak setakat hari ini bermula Januari lalu.
Pengarah Kastam Labuan Aspaila Ag Tuah berkata2, sitaan itu dilakukan pasukan operasi penguatkuasaan jabatan berkenaan yang menyasarkan pemilik kenderaan yang melanggar syarat di bawah Perkara 14 Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017.
"Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 55 kes direkodkan dengan nilai keseluruhan sitaan termasuk cukai berjumlah RM7,117,025.23," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Beliau berkata, di bawah Perkara 14, kenderaan yang dibeli di pulau bebas cukai seperti Langkawi dan Labuan dibenarkan dibawa masuk ke Kawasan Utama Kastam (bukan pulau bebas cukai) bagi tempoh tidak melebihi 90 hari dalam satu tahun kalendar.
"Siasatan mendapati kesemua kenderaan dibawa masuk ke Kawasan Utama Kastam menggunakan kemudahan yang diberikan di bawah pengecualian berkenaan namun tidak dibawa pulang ke pulau bebas cukai selepas tempoh yang dibenarkan berakhir," katanya.
Aspalila berkata, kesemua kenderaan pelbagai jenama itu disita dan sedang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Antara kenderaan mewah yang disita ialah Toyota Alphard, Toyota Vellfire, BMW, Mercedes-Benz, Audi Q7 dan Mini Cooper manakala kenderaan lain pula termasuk Toyota Fortuner, Honda, Subaru, Toyota Avanza, Toyota Unser, Toyota Vios, Hyundai Tucson, Chevrolet, Nissan Sentra, Mitsubishi ASX, Perodua serta Mazda Skycity.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya bekerjasama dengan JKDM dalam membanteras aktiviti penyeludupan termasuk yang membabitkan rokok, minuman keras, dadah dan kenderaan.
"Aktiviti penyeludupan bukan sahaja mengakibatkan ketirisan hasil negara malah turut mengancam keselamatan negara dan kesejahteraan masyarakat," katanya.
Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan melalui talian bebas tol Kastam di 1-800-88-8855 atau menghubungi pejabat Kastam terdekat, dengan jaminan bahawa identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya.

