Kebakaran di Membakut memusnahkan rumah dan empat kenderaan
18:12 Dec 29, 2025  |  By SabahKini2
Kebakaran di Membakut memusnahkan rumah dan empat kenderaan

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Jaffar Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.01 malam

MEMBAKUT: Sebuah rumah tidak kekal musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Lembah Poring, di sini, malam tadi, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Jaffar Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.01 malam.

Katanya, seramai enam anggota BBP Kimanis digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 29 kilometer dari balai dan jentera tiba pada jam 12.11 tengah malam.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah tidak kekal yang terbakar 100 peratus.

“Tiga kenderaan turut musnah sepenuhnya, manakala sebuah lagi kereta mengalami kerosakan kira-kira 70 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kerja pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran dengan dua pancutan air daripada jentera bomba dan kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 12.17 tengah malam.

Menurutnya, pasukan bomba berdepan kesukaran untuk ke lokasi kejadian berikutan keadaan laluan yang rosak dan berparit, menyebabkan jentera terpaksa berpatah balik sebelum menggunakan laluan alternatif.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2 pagi selepas lokasi disahkan selamat dan tiada lagi bahaya.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian yang dialami mangsa masih dalam siasatan,” katanya.

Comment