Polis gagalkan cubaan seludup petrol, dua lelaki warga Filipina ditahan
17:12 Dec 31, 2025  |  By SabahKini2
Polis gagalkan cubaan seludup petrol, dua lelaki warga Filipina ditahan

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai aktiviti penyeludupan di perairan daerah ini, sebelum menjalankan rondaan rutin.

SEMPORNA: Cubaan menyeludup petrol ke luar negara gagal selepas polis menahan dua lelaki warga Filipina dalam rondaan cegah jenayah di perairan Pulau Bum Bum, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai aktiviti penyeludupan di perairan daerah ini, sebelum menjalankan rondaan rutin.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Polis Pulau Bum Bum berjaya mengesan dan menahan sebuah bot kayu yang mencurigakan ketika menjalankan rondaan di kawasan perairan Pulau Bum Bum.

“Pemeriksaan lanjut menemukan sebuah bot kayu bersama enjin Yamaha 200 kuasa kuda (HP) dua lejang, selain 90 jerikin minyak petrol berjumlah kira-kira 2,250 liter dan dua jerikin minyak petrol yang dicampur minyak 2T.

“Minyak petrol berkenaan dipercayai cuba diseludup keluar ke Filipina dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM5,760 mengikut harga pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semua tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna untuk tindakan lanjut oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Tan merakamkan penghargaan kepada anggota Balai Polis Pulau Bum Bum atas kejayaan operasi berkenaan dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman perairan daerah itu.

“IPD Semporna akan terus membanteras aktiviti penyeludupan dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk jenayah kontraban,” katanya.

Comment