Tukang rumah maut motosikal rempuh lori di Jalan Lintas
17:12 Dec 31, 2025  |  By SabahKini2
Tukang rumah maut motosikal rempuh lori di Jalan Lintas

Dalam kejadian pada jam 7.59 malam itu, mangsa lelaki berusia 50-an dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Penampang selepas menyiapkan kerja pembinaan rumah di Kota Belud bersama anak dan menantunya.

KOTA KINABALU: Seorang tukang rumah maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah lori yang membuat pusingan U di Jalan Lintas, berhampiran Metro Town, malam tadi.

Dalam kejadian pada jam 7.59 malam itu, mangsa lelaki berusia 50-an dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Penampang selepas menyiapkan kerja pembinaan rumah di Kota Belud bersama anak dan menantunya.

Lebih menyayat hati, barangan keperluan termasuk sayur-sayuran yang dibeli untuk keluarga bertaburan di atas jalan raya selepas kemalangan berlaku.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, berkata kemalangan membabitkan sebuah lori jenis Nissan dan motosikal Honda Wave.

“Berdasarkan siasatan awal, lori yang bergerak menghala ke pusat bandar dikatakan membuat pusingan U di lokasi kejadian sebelum motosikal mangsa yang berada di lorong kiri melanggar bahagian belakang kenderaan berat itu.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada jam 8.29 malam oleh Pegawai Perubatan dari Hospital Queen Elizabeth II,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kasim berkata pihak polis telah menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan menahan kedua-dua kenderaan terbabit untuk pemeriksaan lanjut oleh Puspakom.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) bagi proses bedah siasat.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di talian 088-529 222,” katanya.

Comment