KOTA KINABALU: Tahun 2026 membuka lembaran baharu untuk Sabah terus mara ke hadapan dengan keazaman yang kuat serta semangat kebersamaan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, kerajaan negeri bersedia sepenuhnya melaksanakan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang holistik, inklusif dan komprehensif.
Katanya ia bagi memastikan kemakmuran berterusan serta masa depan yang lebih cerah dan berdaya saing untuk negeri ini.
“Mengimbas kembali 2025, ia adalah tahun yang baik dengan asas pembangunan kukuh serta kemajuan konsisten melalui pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0.
“Kerajaan negeri akan meneruskan landasan ini menerusi SMJ 2.0 dengan memperkukuh komitmen terhadap perpaduan, kemakmuran dan pembangunan inklusif supaya kemajuan dapat dinikmati secara adil oleh seluruh rakyat,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu 2026, hari ini.
Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Sabah atas mandat baharu yang diberikan untuk terus memimpin negeri ini.
“Kami amat menghargai kepercayaan dan sokongan ini. Ia adalah amanah besar yang akan dilaksanakan dengan penuh akauntabiliti dan tanggungjawab,” katanya.
Menurutnya, dengan mandat baharu itu, kerajaan negeri kekal komited memperkukuh tadbir urus, memastikan kestabilan politik berterusan serta memacu pembangunan komprehensif demi kesejahteraan rakyat.
“Sepanjang lima tahun lalu, usaha berterusan mewujudkan kestabilan dan persekitaran kondusif membuahkan hasil ketara dan memberi manfaat kepada negeri,” katanya.
Mengakhiri perutusannya, beliau mendoakan agar seluruh rakyat Sabah dikurniakan kesihatan yang baik, kesejahteraan dan kejayaan.
“Bersama rakan Kabinet negeri, saya mengucapkan selamat menyambut Tahun Baharu kepada semua,” katanya.

.jpg)