KUDAT: Tiga individu bertindak terjun ke laut sebaik menyedari kehadiran Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang menjalankan operasi di perairan Kudat di sini.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Hasbullah Omar berkata, operasi yang dijalankan awal pagi Isnin itu berjaya menggagalkan cubaan menyeludup kira-kira 6,000 liter petrol.
Katanya, pergerakanan bot pam terbabit dikesan hasil maklumat risikan Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah ketika pasukan melaksanakan operasi bersepadu di kawasan berkenaan.
“Sekitar jam 1 pagi, sebuah bot pam yang bergerak perlahan dan mencurigakan dikesan kira-kira 1.5 batu nautika dari Tanjung Kalutan, Pulau Balambangan, sebelum sebuah bot ronda digerakkan bagi tujuan pemeriksaan.
“Bagaimanapun, sebaik bot ronda menghampiri, tiga individu di atas bot pam bertindak terjun ke laut cetek dan melarikan diri ke kawasan daratan berhampiran untuk mengelak ditahan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Hasbullah berkata, pemeriksaan terhadap bot yang ditinggalkan menemukan 25 tong plastik berisi petrol dengan anggaran keseluruhan kira-kira 6,000 liter dipercayai dibawa tanpa permit sah dan disyaki untuk pasaran gelap atau penyeludupan ke negara jiran.
“Bot pam bersama muatan petrol yang dirampas dianggarkan bernilai hampir RM60,000 sebelum dibawa ke Jeti Marina Kudat bagi siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
Dalam pada itu, Hasbullah meminta orang ramai khususnya komuniti maritim agar menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah maritim kepada Maritim Malaysia bagi membantu mengekang kegiatan penyeludupan di perairan negara.

