Hospital KPJ Sabah berjaya buat awake craniotomy pertama
16:01 Jan 06, 2026  |  By SabahKini2
Hospital KPJ Sabah berjaya buat awake craniotomy pertama

Jurucakap KPJ Sabah dalam satu kenyataan berkata, prosedur bersejarah yang dikenali sebagai pembedahan kraniotomi dalam keadaan sedar dan pembuangan ketumbuhan dijalankan pada 5 Januari dan mengambil masa kira-kira dua jam.

KOTA KINABALU: Hospital Pakar KPJ Sabah mencipta sejarah sebagai hospital swasta pertama di Sabah yang berjaya melaksanakan pembedahan otak dalam keadaan sedar (awake craniotomy) menandakan kemajuan signifikan dalam bidang pembedahan saraf di negeri ini.

Jurucakap KPJ Sabah dalam satu kenyataan berkata, prosedur bersejarah yang dikenali sebagai pembedahan kraniotomi dalam keadaan sedar dan pembuangan ketumbuhan dijalankan pada 5 Januari dan mengambil masa kira-kira dua jam. 

“Operasi diketuai Pakar Bedah Saraf Dr. Ananda Arumugam dengan sokongan Pakar Anestesiologi, Rawatan Kritikal dan Pengurusan Kesakitan Dr. Aldred Soo serta pasukan pembedahan pelbagai disiplin yang berkemahiran tinggi.

“Keunikan utama prosedur ini ialah pesakit wanita berusia 39 tahun kekal sedar sepenuhnya sepanjang pembedahan.

“Sepanjang operasi, pesakit berkomunikasi dengan jelas, menyanyikan lagu kanak-kanak “Twinkle Twinkle Little Star ”, mengenal pasti imej yang dipaparkan melalui iPad, serta

mengucapkan penghargaan kepada doktor dan pasukan pembedahan ketika prosedur sedang berlangsung,” katanya.

Katanya, pembedahan otak dalam keadaan sedar ini adalah teknik pembedahan saraf khusus yang lazimmya dilakukan apabila ketumbuhan otak berada berhampiran kawasan kritikal yang mengawal pertuturan, pergerakan dan fungsi kognitif. 

“Dengan mengekalkan pesakit dalam keadaan sedar, pakar bedah dapat memantau fungsi otak secara langsung dan memastikan kawasan penting terpelihara sewaktu pembuangan ketumbuhan,” katanya.

Sementara itu, Ananda berkata, interaksi berterusan dengan pesakit sepanjang prosedur membantu memastikan keselamatan dan hasil rawatan optimum. 

“Dengan melibatkan pesakit sepanjang pembedahan, kami dapat memantau fungsi neurologi secara berterusan serta melindungi kawasan otak penting sambil merawat ketumbuhan dengan berkesan.

“Kejayaan ini mencerminkan komitmen berterusan KPJ Sabah dalam memperkasa kecemerlangan perubatan melalui pelaburan dalam kepakaran khusus dan rawatan berteknologi tinggi berfokuskan pesakit. 

“Pencapaian ini juga mengukuhkan peranan hospital sebagai penyedia rawatan tertiari yang dipercayai di Sabah dan rantau sekitarnya,” katanya.

Comment