KOTA KINABALU: Lembaga lndustri Getah Sabah (LIGS) akan menyediakan satu kertas Kabinet bagi mencari penyelesaian membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil komoditi itu, kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri Datuk Jamawi Jaafar.
Beliau berkata, kertas Kabinet itu akan menjadi panduan kementeriannya untuk membantu golongan berkenaan menambah pendapatan bukan sahaja melalui pemberian subsidi, tetapi juga pelbagai inisiatif lain.
"Setakat ini kerajaan telah memberikan bantuan subsidi 50 sen untuk satu kilogram getah keping. Hal ini dapat membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah, namun tidak mencukupi dan memerlukan inisiatif lain.
"Oleh itu, saya telah berbincang dengan pengurusan di peringkat LIGS supaya menyediakan kertas Kabinet untuk membantu pekebun kecil," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pelan Hala Tuju Strategik LIGS 2050 di sini hari ini.
Jamawi berkata pekebun kecil getah mampu memperolehi pendapatan tambahan dengan mengusahakan tanaman lain sebagai pendapatan sampingan.
"Kita tahu dalam industri getah kebiasaannya mereka menoreh pada awal pagi dan siap lebih kurang 10 hingga 11 pagi. Jadi, sekiranya mereka berusaha sedikit dengan mengusahakan tanaman lain pada sebelah petang dengan bantuan bahan tanaman daripada kerajaan, mereka akan mendapat pendapatan sampingan.
"Contohnya, sekarang ini LIGS ada 500 ekar (202 hektar) tanaman nanas di Kota Marudu dan akan menjadi sumber bahan tanaman yang bakal diagih kepada pekebun kecil dan kita berharap ia mampu memberi pendapatan tambahan kepada mereka," katanya.
Mengenai majlis pelancaran berkenaan, Jamawi berkata LIGS telah melancarkan Buku Pelan Strategik Hala Tuju 2050 sebagai panduan transformasi industri getah negeri ke arah moden, berdaya saing dan inklusif menjelang tahun berkenaan.
Beliau berkata pelan itu turut menyasarkan peningkatan pendapatan pekebun kecil getah daripada RM1,800 pada masa ini kepada RM5,000 sebulan menjelang 2050.
"Kementerian memberi tumpuan kepada empat agenda utama iaitu meningkatkan pendapatan pekebun kecil secara mampan, memodenkan sektor pertanian melalui teknologi dan inovasi, memperkukuh keterjaminan makanan serta industri hiliran dan memastikan kelestarian alam sekitar serta pematuhan piawaian global," katanya.
Beliau yakin momentum yang sedang dibina akan menjadikan LIGS peneraju industri getah Sabah serta institusi contoh dalam transformasi agensi kerajaan ke arah organisasi moden, progresif dan berorientasikan masa depan.

