APMM tahan bot lampu, musnahkan ekosistem marin
00:01 Jan 20, 2026  |  By SabahKini2
APMM tahan bot lampu, musnahkan ekosistem marin

Hasil pemeriksaan mendapati dua kru warga Filipina berusia 54 dan 19 tahun berada di atas vessel terbabit. Semua kru bersama bot lampu itu ditahan untuk siasatan lanjut.

KOTA KINABALU: Sebuah bot lampu ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas dipercayai menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram menggunakan lampu di dasar laut, dalam rondaan penguatkuasaan di perairan timur Tanjung Melanim, semalam.

Pengarah APMM Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali, berkata bot berkenaan ditahan kira-kira 0.5 batu nautika dari pesisir selepas dikesan melakukan aktiviti menyalahi undang-undang yang berpotensi menjejaskan ekosistem marin.

Menurutnya, penggunaan lampu di dasar laut adalah kaedah penangkapan yang dilarang kerana mampu menarik hidupan marin secara tidak terkawal. "Pemeriksaan lanjut mendapati dokumen pengenalan diri kru vessel meragukan selain kegagalan mengemukakan dokumen pertukaran juragan yang sah," katanya.

Hasil pemeriksaan mendapati dua kru warga Filipina berusia 54 dan 19 tahun berada di atas vessel terbabit. Semua kru bersama bot lampu itu ditahan untuk siasatan lanjut.

Mohd Khairulanuar menegaskan, APMM tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti perikanan yang menggunakan lampu di dasar laut kerana ia memberi kesan buruk kepada sumber perikanan negara dan usaha pemuliharaan kerajaan.

“Jika dibiarkan, kegiatan ini bukan sahaja merugikan nelayan yang mematuhi undang-undang, malah mengancam kelangsungan sumber laut dan rezeki generasi akan datang,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua nelayan dan kru vessel supaya mematuhi undang-undang perikanan serta mengamalkan kaedah penangkapan ikan yang lestari. Tindakan tegas, termasuk penahanan vessel dan kompaun, akan diambil terhadap pihak yang disabitkan kesalahan.

Orang ramai dan komuniti maritim diminta menyalurkan maklumat mengenai aktiviti mencurigakan di perairan kepada Pusat Operasi Maritim Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di talian 088-387774 atau 999.

Comment