PRK Kinabatangan-Lamag: Polis luluskan 128 permit ceramah dan kempen
00:01 Jan 20, 2026  |  By SabahKini2
PRK Kinabatangan-Lamag: Polis luluskan 128 permit ceramah dan kempen

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan D Ravi berkata, permit berkenaan diberikan kepada Barisan Nasional (BN), Parti Warisan (Warisan) serta calon Bebas.

KINABATANGAN: Sebanyak 128 permit ceramah dan kempen telah dikeluarkan setakat ini sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan D Ravi berkata, permit berkenaan diberikan kepada Barisan Nasional (BN), Parti Warisan (Warisan) serta calon Bebas.

Menurutnya, setakat ini tiada permohonan permit ditolak dan semua pihak didapati mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.

“Buat masa ini, tiada sebarang permohonan ditolak dan semua pihak mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan pihak polis,” katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Ravi berkata, sepanjang tempoh berkempen, pihaknya hanya menerima satu aduan, yang telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tindakan lanjut.

Beliau turut memaklumkan seramai 927 anggota polis daripada beberapa ibu pejabat polis daerah berhampiran termasuk Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah akan ditugaskan bagi memastikan keselamatan serta kelancaran proses pengundian pada Sabtu ini.

“Saya mengingatkan semua calon, ejen calon serta penyokong agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini sepanjang tempoh kempen,” katanya.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan Mohd Kurniawan Naim Moktar (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas).

Sementara itu, di DUN Lamag pula menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

PRK tersebut diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, pada 5 Disember tahun lalu.

SPR menetapkan esok sebagai hari pengundian awal.

Comment