KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun hari ini menerima kunjungan hormat delegasi syarikat tenaga multinasional berpangkalan di Amerika Syarikat, ConocoPhillips, di pejabatnya di sini.
Delegasi itu diketuai Presiden ConocoPhillips Malaysia, Connor Dunn, dengan tujuan mengukuhkan hubungan dua hala serta membincangkan perkembangan semasa dan potensi kerjasama strategik dalam sektor minyak dan gas, khususnya berkaitan operasi serta pelaburan syarikat itu di Sabah.
Pada pertemuan berkenaan, Masidi diberi taklimat mengenai hala tuju korporat dan perancangan masa depan ConocoPhillips, termasuk aspek keselamatan operasi, pematuhan peraturan, kelestarian alam sekitar serta komitmen syarikat dalam memajukan pembangunan mampan industri tenaga.
Masidi menegaskan kepentingan kerjasama berterusan antara Kerajaan Sabah dan pemain industri tenaga bagi memastikan sektor itu kekal sebagai penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Beliau turut menekankan kepentingan sektor berkenaan dalam mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan serta memastikan manfaat berterusan dapat dinikmati rakyat Sabah.
Kunjungan hormat itu mencerminkan hubungan erat antara Kerajaan Sabah dan ConocoPhillips, selain komitmen bersama untuk memperkukuh kerjasama strategik ke arah pembangunan sektor tenaga yang lebih berdaya saing dan mampan.
Turut hadir ialah Naib Presiden ConocoPhillips Malaysia (Hal Ehwal Kerajaan dan Kejuruteraan Pembangunan), Ian Lim; Ketua Pegawai Eksekutif SMJ Energy, Datuk Dr Dionysia Kibat; Pengarah Eksekutif (Huluan) SMJ Energy, Datuk Albert Lo; serta Pengarah OGSE dan Korporat SMJ Energy, Terry Biusing.

