KINABATANGAN: Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan yang berlangsung hari ini mencatatkan peratusan keluar mengundi memberangsangkan apabila 83.07 peratus atau 157 anggota polis telah menunaikan tanggungjawab mereka setakat jam 12 tengah hari.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan, bagi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pula, seramai 147 anggota polis atau 78.19 peratus telah selesai mengundi dalam tempoh yang sama.
Menurut SPR, proses pengundian awal itu dijalankan di Teratak Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan melibatkan seramai 196 anggota polis sebagai pengundi.
Daripada jumlah tersebut, 189 anggota mengundi secara fizikal manakala tujuh lagi menggunakan undi pos.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Mohd Kurniawan Naim Moktar mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan calon Bebas, Goldam Hamid.
Sementara itu, bagi PRK DUN Lamag, pertandingan satu lawan satu berlangsung antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek daripada Parti Warisan.

