93% Anggota Polis Undi Awal PRK Kinabatangan, DUN Lamag
20:01 Jan 20, 2026  |  By SabahKini2
93% Anggota Polis Undi Awal PRK Kinabatangan, DUN Lamag

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus, berkata seramai 176 daripada 189 anggota polis layak mengundi pada pengundian awal yang berlangsung dari 8 pagi hingga 5 petang.

KINABATANGAN: Sebanyak 93% anggota polis telah menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag hari ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus, berkata seramai 176 daripada 189 anggota polis layak mengundi pada pengundian awal yang berlangsung dari 8 pagi hingga 5 petang di Teratak Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan.

“SPR ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukannya kerana menjalankan tugas dengan cemerlang,” kata beliau dalam kenyataan. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah, Polis Diraja Malaysia, petugas media, dan semua pihak yang terlibat.

Bagi PRK Parlimen Kinabatangan, pertandingan berlangsung secara tiga penjuru melibatkan Mohd Kurniawan Naim Moktar (Barisan Nasional), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas).

Manakala bagi DUN Lamag, ia adalah pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

PRK diadakan susulan kematian penyandang Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember tahun lalu. Hari pengundian utama dijadualkan pada Sabtu ini.

Comment