KOTA KINABALU: Seramai 10 wakil media di Sabah menerima sumbangan menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Sabah Electricity sebagai penghargaan terhadap peranan mereka dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
Ketua Pegawai Perhubungan Korporat Sabah Electricity, Lisa Wan Siew Han berkata, inisiatif itu selaras dengan komitmen syarikat dalam memperkasa kesejahteraan rakyat Sabah.
Menurutnya, sumbangan tersebut bukan sekadar bantuan material, malah menjadi simbol sokongan dan harapan kepada para petugas media yang sering berada di barisan hadapan ketika menyampaikan maklumat, khususnya dalam situasi krisis.
“Sabah Electricity amat menghargai sokongan berterusan pihak media. Liputan tepat dan telus yang diberikan membantu rakyat mendapat maklumat sahih serta membina keyakinan awam,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Tengah Hari Sabah Electricity Bersama Media, di sini hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa tahun 2026 bakal menyaksikan pelaksanaan beberapa projek berimpak tinggi yang penting untuk pembangunan sektor tenaga di Sabah.
“Projek-projek ini bukan sahaja memberi impak kepada pertumbuhan syarikat, malah membuka ruang kepada media untuk memainkan peranan penting dalam penceritaan dan penyampaian maklumat kepada masyarakat,” jelasnya.
Tambah Lisa, Sabah Electricity telah menyumbang sebanyak RM5.2 juta menerusi pelbagai inisiatif kebajikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, merangkumi pembangunan komuniti, sokongan pendidikan, bantuan kebajikan serta pemeliharaan alam sekitar.
Dalam pada itu, beliau berharap hubungan strategik antara Sabah Electricity dan pihak media dapat terus diperkukuh demi memastikan penyampaian maklumat yang seimbang dan tepat kepada rakyat.
Antara penerima sumbangan ialah John Tambanan, Faizal Pakanna Ahmad, Jeremy Zabala, Soon Kim Lin, Tsen Yin Chin, Stefyanie Myla Michael, David Shia, Cynthia D. Baga, Joseph Bingkasan dan Barnard Yaang.

