PPM di kawasan pembangkang diberi amaran, jangan kejar kepentingan sendiri – Hajiji
20:01 Jan 20, 2026  |  By SabahKini2
PPM di kawasan pembangkang diberi amaran, jangan kejar kepentingan sendiri – Hajiji

Beliau menegaskan PPM yang berkhidmat khususnya di kawasan pembangkang memikul tanggungjawab besar kerana mereka menjadi wakil rasmi kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memberi amaran keras kepada Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) supaya tidak menyalahgunakan kuasa dan mengejar kepentingan peribadi ketika menjalankan tugas di kawasan masing-masing.

Beliau menegaskan PPM yang berkhidmat khususnya di kawasan pembangkang memikul tanggungjawab besar kerana mereka menjadi wakil rasmi kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Kamu adalah mata dan telinga kerajaan. Tugas di kawasan pembangkang bukan mudah, jadi laksanakanlah tanggungjawab dengan penuh integriti dan berhemah,” katanya selepas merasmikan Majlis Angkat Sumpah Fasa Kedua 35 PPM di Menara Kinabalu, hari ini.

Menurut Hajiji, kebanyakan PPM yang mengangkat sumpah akan ditempatkan di kawasan pembangkang, sekali gus berperanan sebagai perantara utama kerajaan dengan rakyat setempat.

Beliau turut memberi amaran akan bertindak tegas terhadap mana-mana PPM yang menyalahgunakan jawatan.

“Kalau saya dapati ada yang lebih mementingkan diri sendiri dan mengabaikan rakyat, saya tidak akan teragak-agak untuk memecat mereka,” katanya.

Tambah beliau, PPM juga diingatkan supaya tidak menggunakan kuasa untuk kepentingan peribadi sebaliknya memberi keutamaan kepada rakyat yang benar-benar memerlukan bantuan.

Dalam masa sama, Hajiji mengarahkan PPM supaya aktif menerangkan dasar, inisiatif dan pencapaian kerajaan negeri di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) kepada rakyat di peringkat akar umbi.

Terdahulu, pada 13 Januari lalu, seramai 45 PPM telah mengangkat sumpah jawatan bagi fasa pertama dan kedua pelantikan.

Turut hadir pada majlis itu ialah menteri-menteri Kabinet Negeri serta Pengarah Unit PPM, Datuk Awang Kadin Tang.

Comment