Pemandu lori maut selepas terbabas di Jalan Tenom–Keningau
16:01 Jan 21, 2026  |  By SabahKini2
Pemandu lori maut selepas terbabas di Jalan Tenom–Keningau

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom, Mudi Pengiran berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 2.42 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

TENOM: Seorang pemandu lori maut selepas kenderaan dipandunya terbabas sendiri di bahu Jalan Tenom–Keningau berhampiran Kampung Pamilan, Batu 15.5, petang Selasa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom, Mudi Pengiran berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 2.42 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 3.06 petang selepas menempuh perjalanan sejauh kira-kira 26 kilometer dan mendapati sebuah lori 10 tan yang membawa muatan bibit sawit terbabas ke bahu jalan.

“Seorang mangsa lelaki didapati tersepit di bahagian belakang kanan tayar lori,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, berdasarkan maklumat saksi, mangsa dipercayai cuba terjun dari lori sebelum kenderaan itu terbabas, namun tersepit di bahagian belakang lori berkenaan.

“Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa dengan bantuan sebuah jentera berat jenis excavator,” katanya.

Mangsa berusia 38 tahun kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Katanya, operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.24 petang selepas pihak bomba memastikan keadaan selamat dan tiada risiko bahaya lain di lokasi kejadian.

Comment