KOTA KINABALU: Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Shaharoom Hashim, memberitahu inkues kematian pelajar Zara Qairina Mahathir bahawa beliau tidak pernah dimaklumkan mengenai kewujudan kenyataan bertulis pelajar yang dihasilkan semasa siasatan dalaman sekolah.
Ketika prosiding bersambung hari ini, pegawai pengendali Mohd Fairuz Johari bertanya sama ada pihak pentadbiran sekolah pernah memaklumkan kepadanya mengenai dokumen mengandungi kenyataan lima pelajar berhubung kejadian pada malam 15 Julai.
Shaharoom, yang tampil sebagai saksi ke-47, berkata beliau hanya dimaklumkan secara lisan bahawa dua siasatan dalaman telah dijalankan pada 16 dan 17 Julai.
“Saya dimaklumkan pada awal pagi 17 Julai bahawa satu siasatan telah dijalankan di surau pada 16 Julai, di mana pelajar ditemu bual secara lisan.
“Bagaimanapun, unit disiplin tidak pernah memaklumkan kepada saya mengenai kewujudan kenyataan bertulis,” katanya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Beliau berkata hanya mengetahui tentang dokumen bertulis itu semasa inkues bermula pada 3 September tahun lalu.
Pendedahan itu susulan keterangan seorang guru Bahasa Arab sekolah berkenaan pada 25 November lalu yang memaklumkan bahawa kenyataan pelajar disimpan oleh unit disiplin sekolah dan tidak didedahkan kepada mana-mana pihak berkuasa termasuk polis.
Shaharoom turut mengakui bekas ketua warden sekolah, Azhari Abdul Sagap, pernah memaklumkan kepadanya mengenai kewujudan kenyataan bertulis tersebut, namun menegaskan beliau hanya mengetahui secara terperinci mengenainya ketika prosiding inkues berlangsung.
Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa dirinya dipindahkan ke Jabatan Pendidikan Negeri Sabah tiga minggu selepas Zara ditemui tidak sedarkan diri di asrama sekolah pada 16 Julai.
Dalam tempoh tersebut, katanya, beliau sibuk menguruskan hal berkaitan hospital, prosedur forensik serta menerima lawatan pihak berkuasa, sekali gus tidak berkesempatan membaca dokumen berkenaan.
Shaharoom turut memberi keterangan bahawa beliau telah membuat laporan secara lisan kepada wakil Jabatan Pendidikan Negeri Sabah ketika lawatan mereka ke sekolah pada 18 Julai.
Beliau juga mengesahkan menerima salinan imbasan diari Zara melalui aplikasi WhatsApp serta telah bertemu ibu mangsa, Noraidah Lamat, sebanyak dua kali.
Peguam yang mewakili Noraidah, Shahlan Jufri, mempersoalkan mengapa Shaharoom tidak memaklumkan sebarang perkembangan kepada ibu mangsa.
“Ketika lawatan ke rumah dan hospital, maklumat yang diberikan kepada saya hanya berkaitan kronologi kes, yang mana ibunya sudah sedia maklum,” jawab Shaharoom.

