KAHERAH: Kerajaan Sabah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Darul Ifta Mesir bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang kefatwaan, latihan kepakaran dan pembangunan ilmu Islam.
MoU itu ditandatangani Exco Agama Negeri Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, bersama Mufti Republik Arab Mesir, Prof Dr Nazir Mohamad Ayyad, di Pejabat Darul Ifta Mesir, di sini.
Mohd Arifin berkata, kerjasama itu selari dengan usaha memperkasa pembangunan syiar ilmu dan kepakaran Islam berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang dirancang sejak beberapa tahun lalu.
“Usaha ini melibatkan pelbagai pihak termasuk Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Pejabat Mufti Sabah, Pejabat Peguam Besar Sabah, Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah serta Yayasan Sabah,” katanya.
Beliau berkata, pemeteraian MoU itu membuka ruang kepada perkongsian kepakaran, latihan kefatwaan dan pembangunan keilmuan Islam antara kedua-dua pihak.
Sementara itu, Nazir berharap kerjasama tersebut dapat menjadi platform memperkukuh ukhuwah Islamiah serta memperkasa bidang syariah, dakwah, penyelidikan dan keilmuan Islam melalui perkongsian kepakaran ilmuan Darul Ifta Mesir.
Majlis turut dihadiri Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Isnin Aliasnih; Yang Dipertua MUIS, Datuk Seri Yahya Hussin; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hanafiah Kassim; Timbalan Duta Besar Malaysia ke Mesir serta Mufti Sabah, Datuk Bungsu Aziz Japar.

