Sabah komited sediakan persekitaran pelaburan kondusif
17:01 Jan 22, 2026  |  By SabahKini2
Sabah komited sediakan persekitaran pelaburan kondusif

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri komited menyediakan persekitaran pelaburan yang stabil, kondusif dan berdaya saing bagi menarik pelaburan berkualiti tinggi, khususnya dalam sektor tenaga dan minyak dan gas.

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah sentiasa mengalu-alukan kehadiran serta sokongan pelabur antarabangsa berwibawa yang mampu membawa nilai tambah kepada pembangunan industri tenaga, minyak dan gas di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri komited menyediakan persekitaran pelaburan yang stabil, kondusif dan berdaya saing bagi menarik pelaburan berkualiti tinggi, khususnya dalam sektor tenaga dan minyak dan gas.

Menurut beliau, kerjasama strategik antara syarikat minyak antarabangsa dan pemain industri utama perlu memberi manfaat jangka panjang kepada negeri serta rakyat Sabah.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ConocoPhillips, Ryan Lance, di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini, pada Khamis.

Sementara itu, Ryan Lance memaklumkan ConocoPhillips merupakan antara syarikat minyak utama dari Amerika Syarikat serta pemain bebas terbesar dunia dalam aktiviti penerokaan dan pengeluaran minyak dan gas, dengan operasi di pelbagai rantau strategik global.

Katanya, ConocoPhillips memberi tumpuan pelaburan di Sabah dan pada masa sama mengukuhkan komitmen jangka panjang syarikat itu terhadap Malaysia.

“Kami bangga dapat bersama-sama membangunkan industri minyak dan gas di Sabah dan yakin industri ini menyediakan pertumbuhan masa hadapan yang cerah kepada negeri ini,” katanya yang pertama kali melawat Sabah.

Untuk rekod, ConocoPhillips Sabah Gas kini menjadi pengendali tunggal Kluster Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Kebabangan (KBBC) di Sabah selepas Petronas memindahkan pengendalian tersebut kepadanya pada 21 Januari 2025.

Comment