Dua pegawai imigresen antara tiga ditahan, sindiket salah guna permohonan pasport terbongkar
17:01 Jan 22, 2026  |  By SabahKini2
Dua pegawai imigresen antara tiga ditahan, sindiket salah guna permohonan pasport terbongkar

Menurut beliau, kesemua individu yang ditahan berusia antara 32 hingga 40 tahun, hasil risikan dan pemantauan rapi yang dijalankan hampir dua bulan selaras dengan pendekatan smart enforcement.

KUALA LUMPUR: Tiga individu termasuk dua pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket penyalahgunaan kemudahan permohonan Pasport Malaysia secara dalam talian.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, sindiket berkenaan menawarkan perkhidmatan pembaharuan pasport kepada rakyat Malaysia yang berada di luar negara dengan bayaran sehingga RM12,000 bagi setiap naskhah, tanpa mematuhi prosedur yang ditetapkan.

Beliau berkata, penahanan dilakukan menerusi satu Operasi Khas yang dilaksanakan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM dengan kerjasama JIM Negeri Johor dan Sabah di dua lokasi berasingan, iaitu di Simpang Renggam, Johor dan Kota Kinabalu, Sabah pada 19 Januari lalu dan semalam.

“Dalam operasi ini, seorang lelaki warga tempatan ditahan di sebuah premis kediaman di Simpang Renggam kerana dipercayai memberi perakuan palsu bagi mendapatkan Pasport Malaysia.

“Susulan itu, operasi diteruskan di Kota Kinabalu yang membawa kepada penahanan dua lagi individu, masing-masing pegawai imigresen yang dipercayai bertindak sebagai dalang utama dan pemudah cara sindiket tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kesemua individu yang ditahan berusia antara 32 hingga 40 tahun, hasil risikan dan pemantauan rapi yang dijalankan hampir dua bulan selaras dengan pendekatan smart enforcement.

Dalam operasi berkenaan, pihak berkuasa turut merampas dua naskhah Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) serta beberapa dokumen permohonan PMA secara dalam talian yang dipercayai berkaitan secara langsung dengan kegiatan sindiket terbabit.

Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan mempromosikan perkhidmatan mereka melalui media sosial, dengan pemohon hanya perlu menyerahkan maklumat peribadi dan gambar untuk tujuan permohonan.

“Keseluruhan urusan diuruskan oleh sindiket dan pemohon tidak perlu hadir ke pejabat imigresen. Pasport yang siap akan dipos ke luar negara melalui perkhidmatan kurier kepada ejen di sana,” katanya.

Tambah beliau, kesemua individu yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Pasport 1966 dan telah dibawa ke Pejabat Imigresen Negeri Johor dan Sabah bagi membantu siasatan lanjut.

Selain itu, seorang wanita warga tempatan dan seorang lagi pegawai imigresen turut diberikan notis untuk hadir ke pejabat imigresen bagi membantu siasatan.

Zakaria menegaskan, JIM tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah guna kuasa dan akan terus mempergiatkan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti yang melanggar undang-undang.

“Tindakan undang-undang akan diambil tanpa pengecualian, termasuk terhadap pegawai jabatan sendiri, demi memastikan integriti sistem imigresen serta kepercayaan rakyat terus terpelihara selaras dengan prinsip Malaysia MADANI,” katanya.

Comment