BN Pertahan Kinabatangan dan Lamag dengan Majoriti Besar
05:01 Jan 25, 2026  |  By SabahKini2
BN Pertahan Kinabatangan dan Lamag dengan Majoriti Besar

Bagi kerusi Parlimen Kinabatangan, calon BN, Kurniawan Naim Moktar, mencatat kemenangan selesa dengan majoriti 14,214 undi selepas memperoleh 19,852 undi.Di DUN Lamag, calon BN Ismail Ayob turut perolehi majoriti 5,681 undi selepas meraih 7,269 undi.

Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dengan majoriti besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), menurut keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kedua-dua kerusi tersebut sebelum ini disandang oleh Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang berkhidmat selama enam penggal berturut-turut sebelum meninggal dunia pada Disember 2025.

Bagi kerusi Parlimen Kinabatangan, calon BN, Kurniawan Naim Moktar, mencatat kemenangan selesa dengan majoriti 14,214 undi selepas memperoleh 19,852 undi. Beliau menewaskan calon Warisan, Saddi Abdul Rahman yang meraih 5,638 undi, manakala calon Bebas, Goldam Hamid, memperoleh 946 undi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Bung Moktar mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan dengan majoriti 4,330 undi.

Sementara itu, di DUN Lamag, calon BN Ismail Ayob turut mencatat kemenangan meyakinkan dengan majoriti 5,681 undi selepas meraih 7,269 undi, mengatasi calon Warisan Mazliwati Abdul Malek yang memperoleh 1,588 undi.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu, Bung Moktar mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti tipis 153 undi, manakala Ismail ketika itu bertanding sebagai calon Bebas dan memberikan saingan sengit.

PRK tersebut menyaksikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Perikatan Nasional (PN) tidak meletakkan calon, sebagai tanda menghormati legasi dan jasa Allahyarham Bung Moktar Radin di kawasan berkenaan.

 

Comment