Allahyarham Zara Qairina pernah dilanda ketakutan akibat fitnah, kata saksi
23:01 Jan 26, 2026  |  By SabahKini2
Allahyarham Zara Qairina pernah dilanda ketakutan akibat fitnah, kata saksi

Menurut saksi, pada Mei tahun lalu, beliau pernah meminta Zara Qairina menemaninya ke blok akademik sekolah yang memerlukan mereka melalui kawasan berhampiran bilik pelajar senior.

KOTA KINABALU: Allahyarham Zara Qairina Mahathir pernah meluahkan perasaan takut terhadap pelajar senior di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha sebelum ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai tahun lalu, Mahkamah Koroner diberitahu hari ini.

Peguam yang mewakili keluarga mangsa, Rizwandean M Borhan, berkata saksi ke-59 memberitahu mahkamah bahawa Zara Qairina pernah difitnah oleh pelajar senior yang menuduhnya bercakap buruk mengenai mereka, walaupun perkara itu tidak pernah berlaku.

Menurut saksi, pada Mei tahun lalu, beliau pernah meminta Zara Qairina menemaninya ke blok akademik sekolah yang memerlukan mereka melalui kawasan berhampiran bilik pelajar senior.

“Zara pada awalnya menyatakan dia takut, namun tetap mengikutinya. Ketika mereka menaiki tangga, mereka terdengar seorang pelajar senior menyebut perkataan ‘getek’.

“Zara kemudian berkata kepada saksi, ‘kan saya dah cakap’,” kata Rizwandean.

Beliau berkata, keterangan itu menjelaskan sebab Zara Qairina berasa takut untuk melalui kawasan berkenaan, sambil menambah bahawa saksi sama turut memberitahu pernah berdepan fitnah yang hampir serupa dalam kes lain.

Sementara itu, saksi ke-60 memberi keterangan berhubung kejadian pada malam 15 Julai apabila Zara Qairina dipanggil oleh pelajar senior, selain menggambarkan mangsa sebagai seorang pelajar yang ceria, pemurah dan menghormati pelajar senior.

Menurut saksi, Zara Qairina pernah menambah nilai wang untuknya ketika berada di kantin dan menyatakan tidak perlu membayar semula.

Saksi turut memberitahu bahawa Zara Qairina akan menundukkan kepala sedikit dan memberi salam setiap kali berselisih dengan pelajar senior sebagai tanda hormat.

Dalam perkembangan berkaitan, peguam Joan Goh berkata seorang saksi kanak-kanak akan dipanggil semula untuk memberi keterangan selepas didedahkan pernah menyerahkan satu beg plastik berisi barangan milik Zara Qairina kepada seorang guru.

Barangan tersebut dipercayai termasuk rantai kunci dan beberapa nota.

“Kami mahu mengetahui sebab barangan itu diserahkan kerana guru berkenaan memaklumkan tidak mahu menyimpan apa-apa barangan milik Zara,” katanya.

Rizwandean mewakili keluarga Zara Qairina, manakala Goh mewakili salah seorang pelajar yang didakwa terlibat dalam kes buli.

Inkuiri kematian Zara Qairina yang bermula pada 3 September tahun lalu kini memasuki hari ke-56.

Comment