KUALA LUMPUR: Isu melibatkan tiga kampung di Kalimantan Utara, Indonesia, yang dilaporkan kini termasuk dalam wilayah Malaysia berikutan peralihan garisan sempadan, masih berada di peringkat rundingan antara kedua-dua negara dan belum dimuktamadkan, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata penentuan sempadan darat perlu mengambil kira keadaan sebenar struktur tanah dan bukan hanya berdasarkan garisan lurus pada peta, kerana garisan sempadan yang digariskan secara teknikal lazimnya lurus mengikut koordinat dan perjanjian lama.
“Rundingan sedang dijalankan kerana apa yang terdapat di peta dan keadaan di tanah sebenar berbeza. Sama seperti rundingan sempadan dengan Brunei, jika mengikut garisan teknikal, terdapat penduduk Brunei di kawasan Malaysia dan sebaliknya. Kita tidak mahu berlaku situasi di mana rumah atau jambatan terbelah antara dua negara,” katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan (BAP) di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Sendayan, petang tadi.
Mohamad mengulas laporan media antarabangsa yang mendakwa tiga kampung di Kabupaten Nunukan, Kalimantan Utara, kini termasuk dalam wilayah Malaysia.
Beliau turut merujuk penafian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi kawasan tersebut.
Beliau berkata kerajaan akan mengarahkan jawatankuasa teknikal serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) untuk menjalankan kajian dan penilaian terperinci di lapangan bagi membantu proses rundingan. Pemimpin kedua-dua negara dijangka akan membuat persefahaman dan persetujuan mengenai perkara ini.
Dalam perkembangan lain, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berharap projek pembinaan sekolah baharu di Sendayan dapat dilaksanakan bagi mengatasi masalah kesesakan murid. Projek itu dicadangkan dilaksanakan secara ‘turnkey’ bagi mempercepatkan proses berbanding kaedah tender biasa.
Beliau berkata kapasiti sekolah sedia ada hanya untuk 800 murid, namun terpaksa menampung lebih 1,300 pelajar tahun ini, dan dengan pembangunan perumahan baharu di Bandar Baru Sendayan, jumlah pelajar dijangka meningkat.

