KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Induk Anugerah Sukan Negeri Sabah di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini, pada Isnin.
Kunjungan berkenaan diketuai oleh Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Datuk Nizam Datuk Seri Abu Bakar Titingan, yang turut menyampaikan jemputan rasmi serta memberi taklimat berkaitan penganjuran Majlis Anugerah Sukan Negeri Sabah 2026.
Majlis anugerah berprestij yang diadakan setiap dua tahun sekali itu dijadualkan berlangsung pada 6 Februari depan di Magellan Sutera Harbour Resort, Kota Kinabalu.
Menurut Nizam, sebanyak 16 kategori anugerah akan disampaikan pada majlis berkenaan bagi mengiktiraf kecemerlangan atlet Sabah yang mengharumkan nama negeri di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, termasuk Anugerah Tokoh Sukan Negeri Sabah.
Sementara itu, Hajiji merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada atlet Sabah yang mewakili kontinjen Malaysia selepas berjaya menyumbang keseluruhan 10 pingat emas, 15 pingat perak dan 15 pingat gangsa pada Sukan PARA ASEAN (APG) Ke-13 di Nakhon Ratchasima, Thailand, dari 21 hingga 26 Januari 2026.
Beliau berkata, pencapaian tersebut membuktikan keupayaan atlet Sabah untuk bersaing di pentas antarabangsa selain menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda dalam bidang sukan.
Pada temasya berkenaan, atlet Sabah berjaya meraih lima pingat emas, tujuh perak dan tiga gangsa dalam acara olahraga; lima emas, lapan perak dan sembilan gangsa dalam acara renang; satu gangsa dalam acara powerlifting; dua gangsa dalam acara ping pong; serta masing-masing satu perak dan satu gangsa dalam acara lawn bowls (sukan demonstrasi).
Dua atlet dari Tuaran, Abdul Halim Mohammad dan Ivan Jovic Suan, turut mencuri tumpuan apabila masing-masing menyumbang lima dan tiga pingat emas menerusi acara renang dan olahraga.
Selain itu, atlet para olahraga Sabah, Wong Kar Gee mencipta rekod baharu APG apabila merangkul pingat emas acara lompat jauh lelaki T12 dengan lompatan sejauh 6.83 meter.

