KAHERAH: Pelajar Sabah yang menuntut di Timur Tengah digesa membawa pulang ilmu, pengalaman dan nilai murni bagi menyumbang kepada pembangunan Negeri di Bawah Bayu selepas tamat pengajian.
Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman berkata pembangunan sebenar Sabah tidak hanya tertumpu kepada pembangunan fizikal semata-mata, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan pembangunan modal insan berteraskan pendidikan, nilai dan integriti.
Menurut beliau, pendidikan memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi berilmu, bertamadun dan berakhlak tinggi bagi menjamin masa depan negeri yang lebih kukuh.
“Pembangunan tanpa pencerahan akal budi adalah rapuh. Pendidikan mesti menjadi fokus utama untuk membina generasi yang berintegriti dan berdaya saing,” katanya ketika berucap pada Majlis Mahabbah Bersama Pelajar Sabah di Mesir, di sini, Ahad.
Tun Musa berkata, kerajaan negeri sejak 1997 telah menyediakan kemudahan penginapan khas untuk pelajar Sabah di Mesir melalui pembelian Wisma Yayasan Sabah di Kaherah ketika beliau berkhidmat sebagai Pengarah Yayasan Sabah.
Selain itu, sebuah lagi bangunan asrama pelajar dibeli di Iskandariah pada 2010 ketika beliau menjadi Ketua Menteri Sabah bagi menampung keperluan pelajar yang semakin meningkat.
“Saya amat mengambil berat kebajikan pelajar Sabah di luar negara, terutama ketika mereka sebelum ini tidak mempunyai kemudahan asrama yang khusus,” katanya.
Beliau turut menyeru pelajar Sabah agar memanfaatkan pengalaman menuntut ilmu di Mesir dengan menghayati sejarah tamadun Islam serta mengamalkan prinsip kesederhanaan (wasatiyyah) bagi memelihara keharmonian dan perpaduan Sabah yang berbilang kaum dan agama.
“Seorang sarjana sejati bukan sekadar menghafal ilmu, tetapi mampu menterjemahkannya demi kemaslahatan rakyat dan negeri,” tegasnya.
Pada majlis sama, Tun Musa menyempurnakan penyampaian Sumbangan Tunai Mahasiswa Majlis Ugama Islam Sabah (MISBAH).
Turut disampaikan sumbangan kewangan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah kepada Badan Kebajikan Penuntut Sabah di Mesir (BKPSM), sumbangan aktiviti Persatuan Mahasiswa Sabah (SEMESTA) kepada Majlis Mahasiswa Sabah Jordan (MMSJ) dan BKPSM, selain sumbangan Jabatan Ketua Menteri Sabah serta Kumpulan Yayasan Sabah bagi pembelian kelengkapan asrama di Kaherah.
Majlis yang dihadiri kira-kira 350 pelajar itu turut dihadiri Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar @ Yusof Khan Bahadar; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih serta Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Negeri Sabah, Datuk Seri Yahya Hussin.

