KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini dimaklumkan bahawa barangan peribadi milik Allahyarham Zara Qairina Mahathir, termasuk sebuah rantai kunci berbentuk avokado, telah diserahkan kepada seorang saksi kanak-kanak oleh pelajar lain dan bukan secara langsung daripada mangsa.
Peguam keluarga Allahyarham, Shahlan Jufri berkata, perkara itu didedahkan oleh saksi kanak-kanak yang dipanggil semula memberi keterangan pada hari ke-57 inkues kematian Zara.
Menurutnya, saksi berkenaan memaklumkan bahawa barangan tersebut diterimanya daripada seorang pelajar lain, namun mengesahkan ia merupakan milik Allahyarham.
“Bagaimanapun, apabila ditanya mengenai sepucuk surat yang digambarkan sebagai ‘surat privasi’, saksi tersebut tidak dapat mengingati siapa yang menyerahkan surat itu kepadanya atau bila ia diterima,” katanya ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, hari ini.
Shahlan berkata, saksi kanak-kanak itu turut menjelaskan bahawa semua barangan berkenaan disimpan di dalam beg plastik sebelum diserahkan kepada seorang ustazah.
“Saksi memaklumkan bahawa dia bercadang untuk mengambil semula barangan itu, namun ia kemudiannya diserahkan kepada pihak polis,” katanya.
Sementara itu, peguam Datuk Ram Singh yang mewakili salah seorang pelajar yang didakwa terlibat dalam kes buli terhadap Zara berkata, saksi kanak-kanak tersebut turut menyatakan perasaan sedih atas pemergian Allahyarham.
Inkues berkenaan kini telah selesai mengambil keterangan semua saksi kanak-kanak dan akan bersambung pada Jumaat ini dengan seorang guru dijadualkan memberi keterangan.
Ram turut memaklumkan bahawa ibu kepada anak guamnya dijangka memberi keterangan pada Isnin depan.
“Kami akan menyediakan pernyataan saksi bagi mempercepatkan prosiding inkues ini,” katanya.

