Keputusan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dikenal pasti sebagai faktor utama kemenangan besar Barisan Nasional (BN), kata pemimpin Umno, Salleh Said Keruak.
Bekas ketua menteri Sabah itu berkata langkah GRS memberi laluan kepada BN telah mengelakkan perpecahan undi, sekali gus membolehkan sokongan pengundi disatukan kepada satu calon.
“Tindakan ini membolehkan sokongan daripada pengundi yang mempunyai pemikiran sehaluan digabungkan, seterusnya memperkukuhkan peluang kemenangan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Pada Sabtu, BN berjaya mempertahankan kedua-dua kerusi dengan majoriti yang lebih besar berbanding pilihan raya sebelum ini.
Di DUN Lamag, calon BN Ismail Ayob mencatat kemenangan selesa dengan majoriti 5,681 undi dalam pertembungan satu lawan satu menentang calon Warisan, Mazliwati Abdul Malek.
Sementara itu, di Parlimen Kinabatangan, Naim Kurniawan — anak kepada penyandang kerusi, Bung Moktar Radin — menewaskan dua pencabar lain dengan majoriti besar sebanyak 14,214 undi.
Pada Disember lalu, Pengerusi GRS, Hajiji Noor, menyatakan gabungan itu cenderung untuk tidak bertanding sebagai tanda menghormati parti yang memenangi kerusi berkenaan sebelum ini. Beliau turut memaklumkan bahawa GRS akan menumpukan sokongan kepada BN bagi memastikan kemenangan.
Salleh turut menjelaskan bahawa kejayaan BN juga didorong oleh kerjasama erat antara BN dan GRS, selain sentimen simpati serta penghargaan pengundi terhadap sumbangan Bung Moktar yang mempengaruhi sokongan akar umbi.
Menurutnya, pemilihan calon yang tepat telah meningkatkan keyakinan pengundi, manakala kekuatan jentera parti yang tersusun dan berdisiplin memastikan kempen berjalan dengan berkesan.
“Secara keseluruhan, kemenangan ini membuktikan bahawa kerjasama politik yang matang, calon yang sesuai serta jentera parti yang cekap merupakan kunci kejayaan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Naim dua hari lalu turut merakamkan penghargaan kepada jentera GRS atas sokongan yang diberikan sehingga menyumbang kepada kemenangan BN di Kinabatangan.

