Bot bawa minyak sawit tanpa permit ditahan di perairan Sandakan
16:01 Jan 28, 2026  |  By SabahKini2
Bot bawa minyak sawit tanpa permit ditahan di perairan Sandakan

Menurutnya, bot tersebut dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan pada kedudukan kira-kira 0.8 batu nautika tenggara dari Kampung Gas.

SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot yang disyaki membawa muatan minyak sawit mentah tanpa kebenaran sah di perairan Sandakan, awal pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, bot berkenaan ditahan kira-kira jam 12.55 tengah malam oleh kapal peronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Sejahtera, Op Pluto Timur, Op Cegah PATI dan Op Tiris.

Menurutnya, bot tersebut dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan pada kedudukan kira-kira 0.8 batu nautika tenggara dari Kampung Gas.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun bersama seorang lelaki warga asing berusia 42 tahun.

“Juragan bot gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan pemilikan dan pengangkutan minyak sawit mentah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, bot berkenaan dipercayai membawa kira-kira tujuh tan minyak sawit mentah tanpa permit atau kebenaran sah daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Kes disiasat mengikut Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582) kerana gagal mempamerkan Ikrar Pergerakan Domestik MPOB.

Selain itu, siasatan turut dijalankan di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 serta Peraturan-Peraturan Pelabuhan dan Dermaga (Kapal Kecil Berlesen Sabah) 2008 atas kesalahan gagal mempamerkan lesen, nombor pendaftaran serta membawa muatan tanpa kebenaran.

Kesemua individu bersama bot dan muatan dianggarkan bernilai RM75,000 diiring masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk siasatan lanjut dengan kerjasama pihak MPOB.

Dalam pada itu, Maritim Malaysia menegaskan komitmen untuk terus memperketat rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras sebarang pelanggaran undang-undang di perairan negara.

Orang awam diminta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut kepada Pusat Operasi Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian kecemasan 999.

Comment