RMK13 beri keutamaan infrastruktur strategik, pembangunan bakat di Sabah
16:01 Jan 28, 2026  |  By SabahKini2
RMK13 beri keutamaan infrastruktur strategik, pembangunan bakat di Sabah

Timbalan Menteri Ekonomi, Mohd Shahar Abdullah, berkata struktur ekonomi Sabah ketika ini didominasi industri minyak mentah, petroleum dan tanaman kelapa sawit yang menyumbang kira-kira 40.6% kepada keseluruhan ekonomi negeri.

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur strategik dan pembangunan bakat tempatan di Sabah bagi memperkukuh pertumbuhan ekonomi negeri itu yang masih bergantung kepada sektor komoditi.

Timbalan Menteri Ekonomi, Mohd Shahar Abdullah, berkata struktur ekonomi Sabah ketika ini didominasi industri minyak mentah, petroleum dan tanaman kelapa sawit yang menyumbang kira-kira 40.6% kepada keseluruhan ekonomi negeri.

Katanya, menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kerajaan memberi penekanan kepada dua aspek utama iaitu peningkatan kemudahan infrastruktur strategik serta pembangunan bakat tempatan bagi menarik pelaburan dan mempelbagaikan sumber ekonomi.

“Kerajaan memberi fokus kepada tiga bidang utama, iaitu tahap kemudahan infrastruktur, rangkaian perhubungan serta ketersediaan bakat tempatan,” katanya ketika menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Mohd Shahar berkata, RMK13 turut mengambil kira pembangunan industri hiliran bagi merancakkan ekonomi Sabah, termasuk menerusi pembangunan ekonomi biru dan penerokaan sektor ekonomi baharu.

Beliau menjawab soalan Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal, mengenai pelan intervensi khusus kerajaan untuk memacu semula Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah yang mencatatkan pertumbuhan 1.1% pada 2024, berbanding 5.1% di peringkat nasional.

Menurut Mohd Shahar, seramai kira-kira 42,000 anak Sabah kini mengikuti pengajian di institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta bukan TVET, meningkat berbanding sekitar 34,000 pelajar dua hingga tiga tahun lalu.

Katanya, faktor infrastruktur strategik, rangkaian perhubungan dan ketersediaan bakat tempatan menjadi pertimbangan utama pelabur dalam membuat keputusan pelaburan.

Menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai cadangan insentif pelaburan khas berstatus wilayah dan mekanisme pemantauan prestasi bagi Sabah dan Kelantan, Mohd Shahar berkata kerajaan menggunakan beberapa sistem pemantauan bersepadu di peringkat pusat.

Beliau berkata, pemantauan pelaksanaan projek dan perbelanjaan dibuat menerusi sistem MyRMK di bawah Kementerian Ekonomi, MyProject di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan MyBelanjawan di bawah Kementerian Kewangan, yang dibentangkan secara berkala di Parlimen.

“Pembangunan wilayah adalah agenda penting kerajaan dan dalam RMK13, pendekatan berasaskan data digunakan bagi mengenal pasti potensi kawasan. Namun, penambahbaikan infrastruktur asas dan tahap kesalinghubungan kekal menjadi keutamaan kerana ia memberi kesan langsung kepada keputusan pelaburan,” katanya.

Comment