Satu premis dikompaun dalam operasi KPDN, SSM di Semporna
16:01 Jan 28, 2026  |  By SabahKini2
Satu premis dikompaun dalam operasi KPDN, SSM di Semporna

Operasi bersepadu itu bertujuan memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan sedia ada, khususnya berkaitan penggunaan alat timbang dan sukat yang sah.

SEMPORNA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Cawangan Semporna bersama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Sabah melaksanakan operasi penguatkuasaan di 30 premis perniagaan sekitar daerah ini, termasuk premis pelancongan, hari ini.

Operasi bersepadu itu bertujuan memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan sedia ada, khususnya berkaitan penggunaan alat timbang dan sukat yang sah.

Ketua Cawangan KPDN Semporna, Satunlucy Lamioh @ Lamidah, berkata hasil pemeriksaan mendapati sebuah premis dikenakan kompaun mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972 kerana menggunakan alat timbang dan sukat yang tidak ditentusahkan oleh Inspektor Timbang dan Sukat.

Beliau berkata operasi penguatkuasaan seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan peniaga mematuhi perundangan yang ditetapkan serta melindungi kepentingan pengguna.

“Peniaga di kawasan Semporna dan Kunak diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Comment