Sabah perkasa agenda Islam sederhana melalui kerjasama Al-Azhar
16:01 Jan 29, 2026  |  By SabahKini2
Sabah perkasa agenda Islam sederhana melalui kerjasama Al-Azhar

Lawatan berkenaan dilihat sebagai langkah strategik bagi memperluaskan kerjasama dalam bidang pendidikan agama dan dakwah, sejajar dengan usaha memartabatkan pemikiran Islam sederhana atau wasatiyyah.

MESIR: Sabah terus mengorak langkah memperkukuh hubungan keilmuan Islam di peringkat antarabangsa menerusi lawatan rasmi delegasi peringkat tinggi negeri itu ke Akademi Antarabangsa Al-Azhar di sini.

Lawatan berkenaan dilihat sebagai langkah strategik bagi memperluaskan kerjasama dalam bidang pendidikan agama dan dakwah, sejajar dengan usaha memartabatkan pemikiran Islam sederhana atau wasatiyyah.

Delegasi diketuai Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dan turut disertai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Menteri Bertanggungjawab Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Mufti Sabah, Datuk Aziz Jaafar serta wakil Kedutaan Malaysia di Kaherah.

Ketibaan delegasi disambut kepimpinan Al-Azhar Al-Sharif termasuk Setiausaha Agung Kompleks Penyelidikan Islam, Dr Mohamed Al-Dwaini; Mohamed Al-Jandi serta Presiden Akademi Antarabangsa Al-Azhar, Dr Hassan Salah Junior.

Sepanjang lawatan itu, Tun Musa dan delegasi menghadiri majlis perasmian Dewan Imam Besar yang dinamakan sempena Imam Besar Al-Azhar, Profesor Dr Ahmed El-Tayyib, sebagai simbol penghargaan terhadap sumbangan beliau dalam memperjuangkan pendekatan Islam sederhana di peringkat global.

Tun Musa berkata Al-Azhar Al-Sharif merupakan institusi keilmuan Islam bertaraf dunia yang sekian lama menjadi rujukan umat Islam serta menyumbang kepada pembangunan pemikiran Islam yang seimbang dan inklusif.

“Sabah melihat Al-Azhar sebagai rakan strategik penting. Pembukaan dewan ini bukan sahaja menghormati kepimpinan Imam Besar, malah mencerminkan komitmen bersama dalam memartabatkan pendidikan agama dan latihan dakwah berteraskan kesederhanaan,” katanya.

Beliau turut menyatakan hasrat Sabah untuk memperluaskan kerjasama dengan Al-Azhar, khususnya dalam pembangunan kurikulum pendidikan Islam, latihan imam dan pendakwah serta pengukuhan institusi agama di negeri itu.

Sementara itu, Dr Mohamed berkata Al-Azhar menghargai hubungan erat dengan Malaysia dan menyifatkan lawatan delegasi Sabah sebagai bukti pengukuhan hubungan keilmuan antara kedua-dua pihak.

Menurutnya, di bawah kepimpinan Profesor Dr Ahmed El-Tayyib, Al-Azhar memberi penekanan terhadap latihan dan pemulihan imam serta pendakwah bagi memastikan penyampaian mesej Islam yang sederhana, harmoni dan menyumbang kepada keamanan sosial.

Dr Hassan pula berkata Akademi Antarabangsa Al-Azhar komited melahirkan pendakwah berilmu, berfikiran terbuka dan berupaya menangani cabaran semasa melalui pendekatan ilmiah dan metodologi yang berwibawa.

Delegasi Sabah turut menyatakan penghargaan terhadap program akademik serta latihan khusus yang ditawarkan akademi itu dan menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama dengan Al-Azhar Al-Sharif bagi memajukan pemikiran Islam sederhana serta agenda dakwah yang inklusif.

Comment