LAHAD DATU: Polis menahan dua lelaki dan merampas dadah disyaki syabu seberat 10.35 gram dalam satu operasi di Jalan Kuburan Cina, Jalan Lahad Datu–Tungku, semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail, berkata tangkapan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) kira-kira 10.50 pagi ketika Op Tapis dijalankan di kawasan berkenaan.
“Pemeriksaan terhadap salah seorang suspek menemui satu sampul surat mengandungi dadah disyaki syabu, manakala seorang lagi suspek tidak memiliki sebarang barang salah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Dzulbaharin, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1,138.50.
Beliau berkata ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 15(1)(a) akta sama.
Dzulbaharin berkata polis akan terus mempergiatkan operasi bagi membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah itu.

